Warga Thai antara 7 ditahan di premis judi
GEORGE TOWN, RABU, 31 Julai, 2013: Warga Thailand antara tujuh lelaki yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis perjudian tidak berlesen di Teluk Kumbar, Bayan Lepas semalam.
Dalam serbuan 3.30 petang itu polis turut menyita 14 set komputer yang diubah suai menjadi mesin judi dan wang tunai RM300.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Supritendan Lai Fah Hin berkata, intipan pihak polis mendapati selain dilengkapi kamera litar tertutup, penjaga premis juga hanya membenarkan pelanggan biasa masuk ke kedai.
Daripada tujuh yang ditahan itu, enam adalah pelanggan dan seorang lagi penjaga premis berusia 21 tahun, katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, pemilik premis boleh didakwa mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala pemain judi pula ditahan mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment