My Add

Wednesday 31 July 2013

Kumpulan kedua Malcoy ke Lebanon

 * RAJA Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kiri) bersalaman dengan anggota tentera yang menyertai kumpulan kedua Malaysia Company 9 yang berlepas ke Lebanon di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, semalam - BERNAMA
SHAH ALAM, SELASA, 30 Julai, 2013: Kumpulan kedua Malaysia Company 9 (Malcoy 9) yang membabitkan 152 anggota dan pegawai berlepas ke Lebanon hari ini bagi melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, kumpulan yang diketuai Timbalan Komander Malcoy 9, Leftenan Kolonel Anuar Al Sadqi Arifffin itu turut melibatkan penyertaan enam anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

"Malcoy 9 adalah pasukan pertama dalam siri Malcoy yang akan digabungkan secara rasmi dengan pasukan Malbatt dan ditempatkan di Kem Marakah, iaitu penempatan baharu di Sektor Barat Unifil atau UNP 2-1.

"Ini bermakna penugasan Malcoy di Sektor Timur Unifil telah tamat dan kontinjen Malaysia akan tertumpu di Sektor Barat Unifil,' katanya ketika berucap dalam Majlis Penghantaran Kumpulan Kedua Malcoy 9 ke Lebanon.

Sebelum ini, kumpulan pertama telah berlepas pada Selasa lalu melibatkan 158 anggota yang diketuai Komander Malcoy 9, Leftenan Kolonel Mohd. Zaki Abu.

Raja Mohamed Affandi berkata, pemergian kumpulan kedua Malcoy 9 ini akan menjadi satu catatan sejarah penting negara dalam siri komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Penyertaan ATM di Lebanon menerusi kontinjen Malcoy dan Malbatt jelas telah mendapat pengiktirafan dan kepercayaan daripada masyarakat antarabangsa.

"Kepercayaan ini jelas membuktikan bahawa ATM mampu memainkan peranan setanding dengan angkatan tentera lain dalam misi antarabangsa," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap seluruh anggota dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas, komited dan dedikasi.

"Semangat kerjasama dalam satu pasukan harus sentiasa dititikberatkan demi menentukan kontinjen negara dapat berfungsi dengan efektif dan efisien.

"Peliharalah tahap disiplin yang tinggi dan kekalkan imej kita sebagai satu pasukan yang tinggi budi pekerti dan sedia membantu insan lain kerana itu adalah kunci kejayaan ATM," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment