My Add

Wednesday 31 July 2013

Kematian pertama denggi berdarah di Kelantan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA BHARU, RABU, 31 Julai, 2013: Demam denggi berdarah di Kelantan telah meragut satu nyawa, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai ancaman wabak penyakit itu yang semakin meningkat di negeri ini.

Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 48 tahun dari Pasir Mas yang dilaporkan telah meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pertengahan bulan ini.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan berkata, dua buah kampung di daerah ini telah diisytiharkan dilanda wabak iaitu Panchor dan Taman Seri Rambai berhampiran pusat bandar Kota Bharu.

Katanya, bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini sebanyak 772 kes demam denggi direkodkan berbanding 682 kes tempoh sama tahun lalu dan secara keseluruhannya sebanyak 1,245 kes dicatatkan tahun lalu dengan jangkaan ia meningkat kepada lebih 1,400 kes.

"Peningkatan jumlah kes ini amat merisaukan namun kematian akibat denggi berdarah lebih merisaukan, justeru saya menasihatkan orang ramai segera ke hospital sekiranya menghidap simptom denggi.

"Jabatan kecemasan tidak akan menolak sebarang kes yang disyaki denggi begitu juga di setiap Klinik 1Malaysia seorang doktor telah ditempatkan di situ sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa HRPZ II Bersama Pelanggan di pekarangan kediaman kakitangan HRPZII di sini semalam. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment