My Add

Wednesday 31 July 2013

RM1.72 bilion biaya bantuan rumah sejak 2001

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Kerajaan menyalurkan RM1.72 bilion untuk membiayai Program Bantuan Rumah (PBR) di seluruh negara sejak 2000 hingga Jun tahun ini, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, antara lain usaha itu menyaksikan 193,534 unit rumah dibaik pulih untuk golongan miskin dan miskin tegar.

"Ia sebahagian daripada misi kerajaan membasmi kadar kemiskinan negara di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR)," katanya menjawab soalan Senator Datuk Pau Chiong Ung pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Pau bertanya sama ada kementerian berhasrat meluaskan skop pendaftaran eKasih bagi kakitangan kerajaan kontrak yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan dan jumlah kewangan yang dibelanjakan sejak program PBR dilancarkan.

Alexander berkata, permohonan mendapatkan PBR bagi yang layak boleh dikemukakan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Pejabat Daerah berkaitan.

Mengenai pendaftaran e-Kasih, beliau berkata, ia terbuka kepada semua ketua isi rumah (KIR) yang layak tanpa mengira status pekerjaan sama ada kerajaan, swasta atau persendirian.

"Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui pegawai daerah, JKKK, wakil rakyat atau ketua kaum masing-masing," katanya.

eKasih merupakan bank data kemiskinan nasional yang mengandungi maklumat mengenai kemiskinan bermula daripada profil individu hinggalah kepada permohonan bantuan dan pemantauan keberkesanan program dan bantuan yang diterima. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment