My Add

Wednesday 31 July 2013

55 juta liter diesel subsidi dilulus

Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA

 * HASAN Malek mengisi minyak diesel kepada kenderaan pacuan empat roda sambil menunjukkan isyarat bagus ketika lawatannya ke stesen minyak Jalan Kolam, Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU, SELASA, 30 Julai, 2013: Kerajaan bertindak proaktif mengatasi masalah kekurangan bekalan diesel subsidi yang mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila meluluskan kuota tambahan bahan api itu sebanyak 55 juta liter di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, daripada jumlah itu sebanyak 9 juta liter diperuntukan kepada Sabah yang mengalami masalah itu sejak beberapa minggu lalu.

"Kita telah mengambil tindakan untuk menangani masalah ini dan saya cukup berpuas hati bahawa keadaan telah pulih seperti sedia kala setelah kita memberikan kuota tambahan diesel subsidi kepada syarikat minyak.

''Mereka telah memberi jaminan bahawa bekalan minyak diesel bukan sahaja cukup untuk bulan ini tetapi sehingga Aidilfitri ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Stesen Minyak Jalan Kolam, di sini hari ini.

Hasan berkata, kementeriannya tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen perniagaan mana-mana pengusaha stesen yang enggan menjual diesel kepada orang ramai setelah memperoleh kuota tambahan diesel subsidi daripada kerajaan itu.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa pengusaha tidak bertanggungjawab yang menjual diesel subsidi kepada pihak industri pada harga lebih tinggi.

''Mereka mengaut untung apabila menjualnya pada harga RM2.70 sedangkan harga biasa dijual ialah pada harga RM1.80. Kepada pihak yang bersubahat, bukan lagi disenarai hitam, mereka langsung tidak boleh berniaga lagi sebab mereka tiada perikemanusiaan kerana menimbulkan pembelian panik di kalangan orang ramai," katanya.

Katanya lagi, di Sabah terdapat 12 kes berlaku iaitu tujuh di Kota Kinabalu, Sandakan (lima) dan dua kes di Tuaran kerana didapati enggan menjual diesel kepada pengguna.

Sehubungan itu, jelas beliau pihak terbabit akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu denda RM100,000 atau penjara tiga tahun kepada individu manakala syarikat pula RM250,000.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan kementeriannya akan melaksanakan pemantauan yang ketat untuk memastikan bekalan diesel subsidi di stesen minyak mencukupi.

Katanya, langkah itu akan dilakukan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Unit Pencegahan Penyeludupan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment