My Add

Wednesday 31 July 2013

Tabung Haji terus tanggung subsidi

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan mengekalkan subsidi yang diperuntukkan untuk setiap jemaah haji pada tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bagaimanapun jumlah keseluruhan untuk tahun ini masih belum dipastikan memandangkan kuota sebenar jemaah negara belum diputuskan oleh kerajaan Arab Saudi.

Menurutnya, Tabung Haji memperuntukkan sebanyak RM104 juta sebagai subsidi demi mengekalkan bayaran haji pada kos RM9,980 untuk setiap jemaah pada tahun lalu.

Katanya, jumlah tersebut melibatkan pemberian subsidi sebanyak RM5,575 setiap orang untuk keseluruhan 28,000 jemaah haji Malaysia.

Perbelanjaan sebenar setiap jemaah untuk mengerjakan haji di Mekah adalah RM15,555.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian zakat sebanyak RM245,000 di bawah program Ehsan TH kepada 490 golongan asnaf peringkat negeri Selangor di sini hari ini.

Abdul Azeez berkata, bayaran zakat itu adalah sebahagian zakat berjumlah RM1.55 juta untuk diagihkan kepada 3,000 golongan asnaf di seluruh negara.

"Setiap tahun Tabung Haji mengeluarkan zakat bagi simpanan para pendepositnya yang diserahkan terus kepada majlis agama Islam atau pusat pungutan zakat negeri.

"Bayaran zakat secara terus ini bagi memudahkan pendeposit apabila mereka tidak perlu lagi membayar zakat wang simpanan mereka dan simpanan pendeposit adalah bersih," katanya.

Selain program Ehsan itu, Tabung Haji turut melaksanakan program Iqra iaitu memberi sumbangan barangan keperluan persekolahan kepada pelajar miskin dan anak yatim serta program 'Baiti' bagi membaik pulih atau membina rumah untuk golongan fakir miskin.

"Program 'afiat' pula bagi menyalurkan bantuan kesihatan kepada hospital dan pesakit kronik yang memerlukan di seluruh negara," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment