My Add

Wednesday 31 July 2013

MRSM laksana sepenuh IGCSE menjelang 2016

ALOR GAJAH, SELASA, 30 Julai, 2013: Seluruh 45 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara akan melaksanakan Program Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) menjelang 2016.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, penawaran peperiksaan IGCSE dengan kerjasama Cambridge International Examination (CIE) itu membolehkan para pelajar mengikuti pengajian luar negara lebih awal.

Menurutnya, dengan adanya pelaksanaan program IGCSE membolehkan MRSM menawarkan dua sijil peperiksaan kepada pelajar.

''Saya percaya pelajar MRSM berupaya mengambil kedua-dua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan IGCSE kerana mereka merupakan pelajar cemerlang.

''Objektif program dwi sijil ini ialah menambah nilai kepada sistem pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sedia ada selain menggalakkan pelajar MRSM meningkatkan mutu pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan menghadiri Majlis Berbuka Puasa Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Alexander Nanta Linggi; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Keusahawanan, Datuk Hasan Rahman dan Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa.

Mohd. Shafie berkata, program yang dilaksanakan oleh MRSM itu adalah setaraf dengan British GLSE dan International GCE 'O' yang ditawarkan melalui CIE yang diguna pakai lebih 9000 sekolah di lebih 160 buah negara.

Malah katanya, sijil berkenaan adalah berkelayakan diterima di banyak universiti di serata dunia.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 13 MRSM telah melaksanakan program IGCSE dan ia akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat.

Mengenai permintaan tinggi kemasukan pelajar ke MRSM beliau berkata, kementerian tidak bercadang untuk membina bangunan baharu bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Sebaliknya kata beliau, bangunan MRSM yang sedia ada akan dinaik taraf bagi menampung keperluan dan permintaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment