My Add

Wednesday, 31 July 2013

Ketua Syiah Kedah dakwa diancam bunuh

PENDANG, SELASA, 30 Julai, 2013: Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan membuat laporan polis kerana mendakwa menerima komen berunsur ugutan dan ancaman bunuh terhadapnya yang dipaparkan menerusi akaun laman sosial Facebook.

Dia yang ditemani beberapa pengikut fahaman itu membuat laporan berkenaan di Balai Polis Pendang di sini kira-kira pukul 10.30 pagi ini.

Abdullah mendakwa, pemilik akaun Facebook menggunakan nama 'Muhd. Amirur Roshid' telah berkongsi gambar dan maklumat dalam Facebook 'Gerakan Anti Syiah Malaysia' mengenai dirinya.

Katanya, beberapa komen yang dikongsi didapati berunsur ugutan dan ancaman bunuh terhadapnya di samping berbentuk fitnah yang antara lain membayangkan seolah-olah penganut Mazhab Syiah Imammiah adalah pengganas.

"Saya meminta polis menyiasat segera perkara ini kerana bimbang mengenai keselamatan diri dan pusat aktiviti kami di Kampung Alor Berala, Pendang," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkenaan di sini.

Abdullah yang mendakwa terdapat kira-kira 3,000 pengikut fahaman Syiah Imammiah di seluruh negeri ini menerima dengan terbuka keputusan kerajaan Kedah untuk mewartakan sekatan penyebaran Syiah dalam usaha membendung penularan ajarannya.

Katanya, pewartaan itu boleh dilakukan jika dianggap perlu bagi menyekat penularan fahaman itu dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kalau kerajaan hendak mewartakan sekatan penyebaran Syiah, kita menerimanya kerana tidak mahu berlaku pertembungan ekoran perbezaan fahaman.

"Tetapi kalau tindakan mewartakan itu bertujuan menghapuskan ajaran Syiah, saya menganggap itu tindakan antinasional," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment