My Add

Wednesday 31 July 2013

Jakoa belanja RM518.360 juta bangunkan ladang Orang Asli

GUA MUSANG, SELASA, 30 Julai, 2013: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membuka 171 ladang sawit dan getah di kawasan seluas 24,326 hektar di seluruh negara membabitkan perbelanjaan RM518.360 juta, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Sani Mistam.

Beliau berkata, ladang itu dibangunkan di kawasan penempatan Orang Asli yang memberi faedah kepada 10,331 peserta Orang Asli, dan mereka setakat ini telah menerima dividen hasil perladangan terbabit berjumlah RM54.946 juta dengan purata pendapatan RM400 sebulan.

Justeru, beliau menafikan dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang menuduh Jakoa tidak memberi fokus kepada pembangunan kaum Orang Asli.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Ihya Ramadan Bersama Masyarakat Orang Asli Kelantan di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini hari ini.

Mohd. Sani berkata, NGO yang membuat tuduhan itu hanya untuk mempengaruhi kaum Orang Asli tanpa merujuk fakta sebenar Jakoa dan kerajaan yang sekian lama melaksanakan pembangunan kaum itu.

"Sebagai contoh, sektor perladangan sawit dan getah ini yang diberi keutamaan bagi memperolehi punca pendapatan untuk Orang Asli," katanya.

Projek perladangan getah dan sawit itu diserahkan pelaksanaannya kepada agensi kerajaan termasuk Risda dan Felcra, yang hingga kini mampu memperkukuhkan ekonomi masyarakat itu.

Beliau berkata, walaupun kedudukan harga pasaran komoditi itu tidak menentu sekarang, namun peserta tetap menerima dividen dengan kadar terbaik setiap tahun.

"Kita juga akan membuka sebanyak 13 kawasan ladang baharu tahun ini dan tahun depan membabitkan keluasan 2,154.44 hektar untuk faedah 1,775 peserta dengan perbelanjaan RM53.861 juta," katanya.

Pembukaan ladang baharu itu membabitkan tujuh kawasan di Perak dengan keluasan 1,274 hektar dan enam ladang di Pahang dengan keluasan 880.40 hektar.

Beliau berkata, penduduk Orang Asli yang tidak terpilih sebagai peserta ladang akan diberi peluang dalam pembangunan pertanian tanaman kontan termasuk pisang dan nanas yang lebih memberi fokus kepada kaum itu di negeri Pahang, Perak dan Kelantan.

"Kita membangunkan sebanyak 45 projek tanaman kontan di negeri terbabit bagi memberi pendapatan kepada 908 peserta Orang Asli dengan membabitkan Pahang (10 projek), Perak (14) dan Kelantan (21 projek)," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada saudara baru, anak yatim dan ibu tunggal. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment