Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG
* NAJIB Tun Razak berbincang sesuatu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2013 di Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS |
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan segera perlu dilakukan oleh polis untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap insiden pembunuhan menggunakan senjata api yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
''Saya amat bimbang tentang perkembangan mutakhir ini di mana kejadian pembunuhan menggunakan senjata api telah berlaku dengan begitu ketara.
''Ini akan menyentuh perasaan dan keyakinan rakyat serta menambah kebimbangan rakyat terhadap soal keselamatan dan berlakunya lebih kerap jenayah berat dalam negara kita," katanya.
Menurutnya, sebarang bentuk keperluan yang bakal dikemukakan oleh PDRM untuk meningkatkan kapasiti pasukan itu perlu munasabah dan berasaskan kemampuan kerajaan bagi menentang jenayah terancang dan jenayah serius dalam negara ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan untuk menangani kes pembunuhan membabitkan senjata api di seluruh negara sehingga mencetuskan kebimbangan kepada rakyat.
Dalam insiden terbaru semalam, tiga lagi kejadian jenayah menggunakan senjata api mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila pengasas Bank Arab-Malaysia yang kini dikenali sebagai AmBank Berhad, Hussain Ahmad Najadi, 75, maut manakala isterinya berusia 49 tahun parah akibat ditembak tiga lelaki.
Di Ipoh, Perak seorang maut dan dua cedera ditembak manakala seorang mangsa parah ditembak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Perdana Menteri berkata, sebuah jawatankuasa kecil yang dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri khususnya yang melibatkan soal perundangan telah diwujudkan.
Jawatankuasa kecil itu berbincang bersama Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menentukan peruntukan perundangan tambahan bagi tujuan memerangi jenayah berat tersebut.
''Kita bersedia menimbangkan permohonan dan kehendak pihak polis asalkan ada jaminan tidak ada salah guna kuasa atau hak asasi manusia.
''Macam mana pun kita tidak boleh biarkan keadaan ini berterusan dan tindakan segera dan serius perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk mengembalikan ketenteraman dan keyakinan rakyat," katanya.
Perdana Menteri berkata, keperluan menambah keberkesanan dalam pasukan keselamatan itu bukan bersifat jangka panjang sebaliknya secara serta-merta.
Justeru, tegas Najib, polis perlu melihat kepada undang-undang sedia ada berhubung tindakan yang perlu dan boleh diambil bagi menangani insiden pembunuhan menggunakan senjata api.
''Apa yang disebut tadi, kita berniat membawanya pada sesi Parlimen seterusnya, peruntukan yang akan mengukuhkan tindakan polis (untuk memerangi jenayah) dan saya tidak bercakap tentang jangka panjang tetapi tindakan serta-merta iaitu pada sesi Parlimen seterusnya," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment