My Add

Wednesday, 31 July 2013

Kurikulum baharu mulai Januari 2014

Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA, SELASA, 30 Julai, 2013: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan kurikulum baharu untuk sekolah dan institut memandu di seluruh negara mulai Januari depan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata, kurikulum tersebut akan memberi tumpuan dalam meningkatkan lagi etika dan cara pemanduan agar pemandu bersikap lebih bertanggungjawab ketika memandu.

Beliau berkata, usaha tersebut sejajar dengan matlamat JPJ sendiri yang mahu melahirkan golongan pemandu baharu di masa depan.

''Buat masa ini, kita sedang membangunkan kurikulum tersebut dan akan mula dilaksanakan Januari depan.

''Diharapkan kurikulum baharu itu akan memberi impak dalam melahirkan pemandu yang lebih beretika di masa depan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

''Saya tidak menafikan bahawa pemandu Malaysia cekap memandu tetapi mereka gelojoh dan tidak beretika ketika di atas jalan raya," katanya.

Menyentuh mengenai penguatkuasaan sempena perayaan Aidilfitri ini, beliau berkata, JPJ akan menempatkan anggota penguatkuasanya yang tidak beruniform di lokasi yang kerap berlaku perlanggaran undang-undang.

''Antara perlanggaran undang-undang yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya adalah gagal mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai topi keledar dan tidak memakai tali pinggang keledar.

''Kesalahan di atas ditetapkan kompaun maksimum RM300," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment