My Add

Thursday, 3 October 2013

Amuk di JPM: Aksi libas pedang samurai dirakam CCTV

 Muhdalena Ahmad
PUTRAJAYA, RABU, 02 Oktober, 2013: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, imej yang dirakam oleh sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), tahun lalu menunjukkan aksi seorang lelaki mengamuk dengan melibas cermin kenderaan menggunakan pedang samurai.

Inspektor Mior Samsul Abdul Rahman, 29, memberitahu, imej berkenaan turut merakam kehadiran tertuduh, Muhdalena Ahmad, 28, bersama-sama lelaki mengamuk, Khalil Afandi Abdul Hamid, 47.

Bagaimanapun, Juruanalisis Seksyen Audio Video, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menyatakan, rakaman tersebut tidak menunjukkan sebarang insiden tembakan yang berlaku dalam kejadian amuk itu.

Saksi berkenaan menyatakan demikian ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd. Izhar, hasil yang diperolehinya ketika menganalisis rakaman CCTV berhubung kejadian tersebut.

Sewaktu menjawab soalan peguam M. Visvanathan yang mewakili Muhdalena, Mior Samsul menjelaskan, kejadian tembakan itu tidak ditemui dalam rakaman tersebut walaupun selepas kesemua 17 imej dibesarkan dan dicetak.

Sebelum itu, saksi menyatakan, dia menerima sekeping cakera padat digital (DVD) pada 10 Julai tahun lalu, iaitu sehari selepas kejadian dan membuat analisis terhadap kandungan datanya.

Menurut pegawai itu, cakera tersebut dimainkan pada komputer manakala imej yang dirakam dibesar dan dijelaskan menggunakan perisian khas sebelum mencetaknya satu persatu.

Ujar Mior Samsul, dia kemudian membuat laporan terhadap hasil analisis tersebut dan diserahkan kepada pegawai penyiasat kes.

Saksi tersebut memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Muhdalena yang didakwa melakukan ugutan jenayah dalam kejadian amuk di JPM manakala Khalil Afandi yang mengaku dirinya 'Imam Mahadi' terbunuh dalam kejadian berkenaan.

Hakim Mohd. Kamil Nizam menetapkan perbicaraan disambung pada 20 dan 21 November depan bagi mendengar keterangan dua saksi akhir pendakwaan serta mendengar penghujahan kedua-dua pihak.

Muhdalena dibicarakan atas tuduhan melakukan ugutan jenayah untuk mendatangkan cedera parah terhadap Koperal Ridzuan Megat Ahmad dan tuduhan membawa sebilah pedang yang dikelaskan sebagai senjata berjadual.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa atas tuduhan tidak mematuhi perintah Ridzuan agar meletakkan senjata di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan.

Muhdalena turut didakwa tidak mematuhi perintah Menteri dengan berada di tempat kejadian yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan tanpa memiliki pas atau permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai tahun lalu di Kompleks B, JPM, Presint 1 di sini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment