Bekas isteri Tito dikebumikan
BELGRADE, SA BTU, 26 Oktober, 2013: Bekas wanita pertama Yugoslavia, Jovanka Broz dikebumikan hari ini, tidak jauh dari kubur bekas suaminya, Josip Broz Tito, dengan dihadiri beratus-ratus penyokong bekas persekutuan komunis itu sebelum negara itu berpecah dalam konflik berdarah pada 1990-an.
Penyokong-penyokongnya yang membawa bunga ros dan simbol-simbol yang menunjukkan keagungan Yugoslavia, berbaris sejak awal pagi di Kompleks Perkuburan, di mana pusara Tito ditempatkan.
Hari ini, kita bukan sahaja mengucapkan selamat jalan kepada Jovanka Broz, kita mengucap selamat tinggal kepada era Tito," kata Perdana Menteri Serbia, Ivica Dacic dalam ucapannya.
Hari ini menandakan pemergian ikon terakhir bekas Yugoslavia." katanya.
Penyokong Tito memberi penghormatan terakhir kepada Jovanka Broz, yang pernah menjadi isteri kepada pemimpin komunis Yugoslavia, Tito selama hampir 30 tahun, tetapi beliau kemudian dipencilkan selepas kematian Tito.
Jovanka Broz meninggal dunia Ahad lalu pada usia 88 tahun.
Jovanka Broz berjuang bersama gerila Partisan yang diketuai Tito semasa perang dan mereka berkahwin pada 1952.
Rumah tangga pasangan itu menghadapi masalah dan mereka kemudian berpisah pada 1970-an.
Selepas Tito meninggal dunia pada 1980, pengganti Tito menuduh janda Tito itu merancang rampasan kuasa dan meletakkannya dalam tahanan di rumah.
Hak Broz dipulihkan selepas 2000, setelah kerajaan prodemokrasi Serbia mengembalikan statusnya. - Agensi/UTUSAN
No comments:
Post a Comment