Iran perlu dijemput rangka rundingan damai Syria
DUBAI, AHAD, 27 Oktober, 2013: Seorang diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Syria berkata, Iran perlu dijemput bagi merangka rundingan damai di Geneva, lapor stesen televisyen berbahasa Inggeris Iran, Press TV.
Iran merupakan sekutu kuat Presiden Bashar al-Assad dalam perang saudara di Syria, manakala Arab Saudi dan negara-negara Teluk yang lain menyokong kumpulan Sunnah yang menentang kerajaan Syria.
Arab Saudi juga menunjukkan kebimbangan terhadap tanda-tanda pemulihan hubungan antara sekutunya Amerika Syarikat dengan musuh ketatnya di rantau ini, Iran.
"Kami percaya penyertaan Iran pada persidangan di Geneva adalah perlu dan membuahkan hasil, maka kami berharap pelawaan akan dibuat (kepada Iran)," kata Lakhdar Brahimi pada sidang media di Teheran, lapor Press TV, yang menterjemahkan temu bual langsung Lakhdar ke dalam Bahasa Inggeris.
"Saya, Setiausaha Agung PBB, dan banyak pihak lagi mahu melihat Iran mengambil bahagian dalam persidangan itu," katanya.
Beberapa orang pegawai, termasuk ketua Liga Arab, Nabil Elaraby, telah menyatakan bahawa mereka berharap persidangan 2 Geneva akan diadakan pada 23 November ini, walaupun AS, Rusia dan PBB menyatakan mereka belum menetapkan tarikh untuk rundingan itu.
Washington sebelum ini berkata, ia akan menjadi lebih terbuka untuk Iran mengambil bahagian pada persidangan di Geneva itu, jika Teheran secara terbuka menyokong kenyataan 2012 yang menggesa dibentuk satu kerajaan peralihan di Syria.
Iran, bagaimanapun menolak syarat itu bagi menyertai persidangan tersebut.
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif ketika bercakap pada sidang media yang sama dengan Lakhdar hari ini berkata, Iran akan menyertai persidangan di Geneva jika dijemput.
"(Kami akan) mengambil bahagian dengan matlamat untuk mengesyorkan penyelesaian politik dengan menyediakan peluang bagi semua pihak di Syria untuk berunding antara satu sama lain," kata Zarif kepada Press TV.
Persiapan untuk mengadakan persidangan itu yang bertujuan untuk menamatkan konflik Syria yang telah mengorbankan lebih 100,000 orang dan berjuta-juta lagi menjadi pelarian, dibuat ketika hubungan antara Washington dan Arab Saudi tegang berhubung konflik itu dan peranan Iran.
Minggu ini, kerajaan pembangkang Syria dalam buangan menggesa Barat dan negara-negara Arab komited untuk menghadiri rundingan damai itu, sambil menyatakan mereka akan mengambil bahagian sekiranya Assad setuju melepaskan kuasa. - REUTERS/UTUSAN
No comments:
Post a Comment