My Add

Wednesday 30 April 2014

Gerakan, MCA tolak hudud

 Kiri Mah Siew Keong, Liow Tiong Lai
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 April, 2014: Gerakan dan MCA menentang keras usaha Pas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat, Jun ini bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Ketika menyatakan pendirian parti itu, Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong menegaskan, pihaknya menghormati agama Islam, tetapi merasakan hukuman itu tidak sesuai dilaksanakan di negara yang berbilang agama, budaya dan kaum seperti Malaysia.

Beliau mendakwa, pelaksanaan hukum hudud di negara ini bercanggah dengan prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah terbukti berjaya membawa kemakmuran di negara ini sejak lebih 56 tahun lalu.

“Bagi kami di Gerakan, ini sangat penting kerana jika Pas berjaya laksanakan hudud di Kelantan, mereka akan sebarkannya ke Terengganu, Kedah dan akhirnya Malaysia dan tidak akan berpatah balik.

“Saya tahu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom dari UMNO kata mereka mungkin sokong hudud, tetapi saya menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua Ahli Parlimen UMNO untuk tidak menyokong rang undang-undang persendirian yang akan dibawa oleh Pas ini," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti Gerakan di sini hari ini.

Bagi membincangkan lebih lanjut isu tersebut, Siew Keong berkata, beliau akan berjumpa dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Pas yang akan bawa usul ini, kenapa tidak bercakap terus dengan Abdul Hadi. Kami mahu jumpa Abdul Hadi untuk menyatakan pandangan kenapa kami rasa hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

“Saya sedia berjumpa dengan Abdul Hadi di mana sahaja dan kalau perlu, kami akan pergi ke ibu pejabat Pas. Ia bukan satu masalah kerana masa depan negara ini lebih penting. Kami mahu selesaikan perkara ini kerana kesan kepada anak cucu kita dan sekarang bukan masa untuk berpolitik," katanya yang berharap dapat bertemu Abdul Hadi sebelum Parlimen bersidang Jun ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Antara Agama Gerakan, Datuk Gooi Hoe Hin mendakwa, pelaksanaan hukum Islam itu mencabuli prinsip-prinsip utama dalam Perlembagaan Persekutuan dan asas-asas yang telah dibentuk selama ini.

“Kenapa hendak perkenalkan undang-undang yang akan memecahbelahkan rakyat negara ini kepada kelompok-kelompok keagamaan? Kenapa perlu ubah struktur asas negara seperti yang terkandung dalam Perlembagaan?

“Hudud tidak praktikal untuk dilaksanakan dan akan menimbulkan kekeliruan serta huru-hara kepada rakyat kerana ada dua sistem perundangan. Apa akan berlaku jika kesalahan jenayah melibatkan umat Islam dengan penganut agama lain? Adakah adil sekiranya hanya umat Islam dikenakan hukum hudud manakala bukan Islam pula undang-undang jenayah sivil," tambahnya.

Hoe Hin menegaskan, DAP dan PKR perlu bertanggungjawab daripada segi politik dan moral bagi menghalang sekutunya itu daripada membawa rang undang-undang persendirian tersebut ke Parlimen.

Menyuarakan nada sama, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pakatan pembangkang perlu menjelaskan mengenai pendirian mereka berhubung rancangan Pas itu kerana mereka kini dilihat terumbang-ambing dalam mencapai kata sepakat berhubung perkara itu.

“Abdul Hadi kata macam ini, Kit Siang dan Tian Chua pula berkata macam itu. Jadi mana satu yang mereka setuju? Ketidaksepakatan mereka ini menyebabkan rakyat yang keliru apakah pendirian mereka sebenarnya.

“Bagi MCA pula, kita menolak hudud oleh Pas ini kerana ia akan mewujudkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat. Bukan bermakna kita menentang Islam tetapi perkara ini perlu kata sepakat oleh semua pihak jika mahu dilaksanakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tiong Lai berkata, MCA akan membincangkan keputusan parti itu berhubung calon Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment