My Add

Wednesday 30 April 2014

Jepun puji usaha kerajaan Malaysia

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 April, 2014: Jepun hari ini menyampaikan penghargaannya kepada Malaysia atas bantuan logistik oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhadap Pasukan Mempertahankan Diri Jepun (JSDF) Unit Bantuan Bencana semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370.

Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera berkata, Malaysia telah melaksanakan tugas yang terbaik dalam aspek penyelarasan serta sokongan terhadap JSDF dan rata-rata anggota pasukan itu memuji sikap profesionalisme negara.

Katanya, dunia telah menyaksikan bagaimana Malaysia bertindak ketika dilanda sesuatu krisis dan beliau yakin, masyarakat antarabangsa mengiktiraf tinggi keupayaan negara.

Beliau secara peribadi juga bertekad akan melakukan yang terbaik dalam mempertingkatkan kerjasama antara kedua-dua negara baik dalam bidang pertahanan mahupun kemanusiaan.

“Seluruh masyarakat Jepun amat bersimpati dengan apa yang terjadi kepada pesawat berkenaan. Simpati ini benar-benar datang dari hati kami.

“Jepun melihat insiden seperti ini telah memperkasakan jalinan antara kerajaan dan pasukan pertahanan masing-masing," katanya dalam majlis Ucapan Penghargaan Kepada Kementerian Pertahanan di Pangkalan Udara Subang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Pada majlis itu, Onodera telah dibawa melawat Kelab Rekreasi Tentera Udara (KRTU) dan Pusat Pergerakan Udara pangkalan berkenaan.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, jalinan antara Malaysia dan Jepun dalam bidang politik, perdagangan, ekonomi, pertahanan serta pelaburan akan menyaksikan pertumbuhan yang pesat selepas ini.

“Kita juga amat yakin Malaysia dapat mempertingkatkan hubungan Jepun dengan negara-negara ASEAN lain ke satu tahap kerjasama yang lebih tinggi," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment