My Add

Wednesday 30 April 2014

Soo Chon ketuai pasukan penyiasat antarabangsa

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 April, 2014: bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Kok Soo Chon akan mengetuai Pasukan Penyiasat Antarabangsa yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian kehilangan pesawat MH370.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Soo Chon pernah menjadi wakil tetap kepada Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di Montreal, Kanada.

Pasukan penyiasat tersebut turut dianggotai wakil daripada Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), Jabatan Siasatan Kemalangan Pesawat China (AAID), Jabatan Penerbangan Awam China (CAAC), Pihak Berkuasa Penyiasatan Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA), Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) serta wakil ASEAN dari Singapura dan Indonesia.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya akan membentangkan kos pembiayaan aset-aset tambahan yang diperlukan bagi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kini memasuki fasa kedua kepada Kabinet esok.

Tanpa menyebut kos tersebut, beliau berkata, oleh kerana operasi pencarian fasa baharu itu memberikan tumpuan di kawasan dasar laut, usaha itu akan melibatkan penggunaan aset serta kepakaran yang digunakan oleh syarikat minyak dan gas (O&G).

Menurutnya, setakat ini, beberapa negara termasuk dari Asia Barat yang mempunyai syarikat O&G telah menyatakan kesediaan untuk menghulurkan bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu.

“Operasi fasa baharu ini amat mencabar kerana memerlukan penggunaan teknologi-teknologi khusus untuk pencarian di dasar laut tetapi kita ada jawatankuasa keluarga, teknikal dan aset.

“Kita amat berterima kasih kerana semua negara yang terlibat dalam operasi SAR tidak menuntut bayaran. Namun, kita perlu berlaku adil kepada semua dan harus melihat isu pembiayaan apa jua peralatan yang diperlukan dalam pencarian fasa baharu ini. Untuk itu, saya akan bentangkan kos terlibat kepada Kabinet esok," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Australia, Tony Abbot memberitahu, fasa baharu itu yang melibatkan kontraktor yang memiliki kepakaran tinggi dalam pencarian di laut dalam akan memakan belanja kira-kira RM184 juta. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment