My Add

Tuesday 29 April 2014

Program tajaan kahwin untuk golongan kurang mampu di Terengganu

KUALA TERENGGANU, SELASA, 29 April, 2014: "Duit tak ada, tapi hati ingin kawin, apa daya ku...," inilah antara lirik lagu Nak Kahwin Duit Tak Ada nyanyian kumpulan Sweet September yang pernah popular satu ketika dahulu.

Kita mungkin masih dapat mendengar alasan orang bujang terutama golongan lelaki yang lambat berkahwin atau meminang anak dara kerana masih belum memiliki sumber kewangan yang kukuh.

Namun dengan pelancaran Program Perkahwinan Perdana 1Terengganu semalam, setidak-tidaknya ia dapat membantu golongan ini untuk memenuhi hajat mereka.

Peniaga Ahmad Lutfi Ismail, 27, mengalu-alukan program ini.

"Dengan pengumuman yang dibuat kerajaan negeri itu, rasanya saya dan tunang saya akan menyertainya untuk menjimatkan duit," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, Muhammad Pehimi Yusof mengumumkan program itu yang bertujuan membantu bakal pengantin mengadakan majlis perkahwinan secara beramai-ramai yang perbelanjaannya ditanggung sepenuhnya Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

Sebagai permulaan, YPKT akan memilih 50 pasangan dari setiap lapan kawasan Parlimen di Terengganu dengan majlis persandingan perdana mereka akan diadakan antara Ogos hingga Disember tahun ini.

Program terbuka kepada belia berumur lingkungan 21 hingga 30 tahun.

"Paling penting, bakal pengantin lelaki mesti mempunyai sedikit sumber kewangan (bekerja atau berniaga sendiri) yang pendapatan mereka kurang di bawah RM3,000.

"Pasangan akan dipantau YPKT selama enam tahun untuk memastikan mereka kekal bahagia serta diberi bantuan lain seperti Rumah Mampu Milik (RMM) jika mereka memenuhi syaratnya," kata Muhammad Pehimi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment