My Add

Wednesday 30 April 2014

Pilihan raya umum Thailand pada 20 Julai

 BANGKOK, RABU, 30 April, 2014: Thailand akan mengadakan pilihan raya umumnya pada 20 Julai ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tarikh itu ditetapkan susulan pertemuan antara anggota SPR dengan Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra serta beberapa anggota kanan Kabinetnya.

Pilihan raya umum itu adalah bagi menggantikan pilihan raya pada 2 Feb yang diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Perlembagaan bulan lepas.

Setiausaha Agung SPR Phuchong Nutrawong berkata tarikh itu dipersetujui pada pertemuan hari ini.

"Suasana mesyuarat amat baik. Anggota SPR Somchai Srisittiyakorn memberi taklimat mengenai masalah pada pilihan raya sebelum ini pada mesyuarat itu,” kata Phuchong dalam sidang media selepas mesyuarat lebih dua jam di Akademi Tentera Udara Diraja Thailand di sini, hari ini.

Beliau berkata jika perlu, kerajaan bersetuju mengeluarkan perintah diraja bagi menangguhkan pilihan raya umum itu jika timbul masalah untuk mengadakannya.

Menurutnya SPR akan bermesyuarat mengenai perkara itu pada 6 Mei ini dan akan membuat cadangan kepada kerajaan sementara, yang kemudian akan mengemukakan pula cadangan kepada Kabinet minggu depan.

Selepas itu, kerajaan akan mengeluarkan perintah diraja bagi mengadakan pilihan raya yang baharu, kata Phuchong. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment