My Add

Tuesday 29 April 2014

TPPA merugikan - Dr. Mahathir

Oleh ANGELINA SINYANG

KUCHING, ISNIN, 28 April, 2014: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang Malaysia akan mengalami kerugian jika mengambil keputusan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menurutnya, adalah lebih baik kerajaan tidak menyertai TPPA memandangkan hanya sedikit manfaat diperoleh jika negara menandatangani perjanjian tersebut.

"Kita (Malaysia) memang suka berbaik dengan semua negara dan Amerika Syarikat (AS) adalah rakan perdagangan yang besar bagi kita dan hubungan baik memang menguntungkan kedua-dua pihak.

"Saya fikir TPPA itu lebih baik tidak ada. Tapi tidak tahu kerajaan hendak tandatangan atau tidak...tidak ada guna," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam Majlis Perasmian Kongres Kesatuan Antarabangsa Arkitek Landskap (ILFA) Asia Pasifik 2014 di sebuah hotel di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir menerima Anugerah Kecemerlangan daripada Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) dan ILFA Asia Pasifik yang disampaikan oleh Presiden ILAM, Mohd Fadrillah Mohd Taib sebagai menghargai sumbangannya dalam pembangunan industri landskap di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim semalam berkata, kerajaan tidak akan menandatangani TPPA hanya kerana lawatan Presiden AS, Barack Obama ke negara ini.

Menurut Razali, kedatangan Obama tidak ada kena mengena dengan TPPA dan dibuktikan dalam jadual lawatannya selama tiga hari di negara ini.

Ditanya lanjut mengapa beliau tidak bersetuju kerajaan menyertai TTPA, Dr. Mahathir menjelaskan, perjanjian itu merugikan kerana negara hanya mendapat sedikit tambahan pasaran perniagaan.

"Kita mungkin dapat sikit tambahan pasaran tetapi banyak perkara dalaman untuk menjaga rakyat Malaysia, kita terpaksa buka (pasaran perniagaan) bagi mereka (negara Barat) masuk.

"Mereka (negara Barat) kaya dan mempunyai teknologi tinggi menyebabkan mereka boleh mengatasi kita punya dasar untuk membantu rakyat Malaysia," ujarnya.

Sebagai contoh, kata beliau, jika negara mahu mengeksport eksport kelapa sawit, kerajaan perlu membuat tapisan sendiri terlebih dahulu.

Bagaimanapun, jelasnya, jika sudah ada perjanjian tersebut, pihak negara barat juga akan mempunyai hak untuk membuat tapisan sekali gus menyebabkan Malaysia tidak lagi mempunyai nilai tambahan dalam perniagaan.

Mengenai kenyataan Obama bahawa negaranya bukan pembuli dalam TPPA, Mahathir dalam nada sinis berkata, tunggu dan lihat sahaja apa bakal berlaku nanti.

"Obama kata tak buli...tak apalah, baguslah...tetapi boleh dipercayai tak?

"Kita tengoklah. Jangan dia paksa kita...kita ada kepentingan kita dalam negara kita, kita negara berbilang kaum, kita kena jaga hubungan baik antara kaum. Jadi kalau dia (AS) hendak masuk, paksa itu, paksa ini susahlah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment