My Add

Wednesday 30 April 2014

Insan buta mulakan misi kayuhan basikal bersejarah

 * MUHAMMAD Sharip Othman (kanan) melepaskan peserta Kayuhan Basikal 1Malaysia 2014 untuk Kayuhan Bersama Kumpulan (Orang Buta) Seiring Paling Jauh di Rembau, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid
REMBAU, SELASA, 29 April, 2014: Benar dia tidak dapat melihat. Namun, seorang penuntut Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Mohd. Shahir Ramli tidak pernah luntur azamnya untuk memecahkan rekod sendiri dalam berbasikal.

Pelajar berusia 24 tahun itu berkata, matlamat untuk melunaskan misi itu bukanlah untuk bermegah bagi mencipta nama sebagai pemegang rekod, sebaliknya dia mahu membuktikan bahawa orang kurang upaya (OKU) sepertinya juga mampu melakukan aktiviti yang mencabar.

“Ada orang berkata golongan buta seperti saya tidak boleh me­nunggang basikal. Apa yang hendak saya lakukan hari ini adalah menolak persepsi itu dan pada masa yang sama mahu merasai keseronokan berbasikal. Ini adalah kepuasan diri.

“Saya yakin misi kali ini akan berjaya," katanya sebelum memulakan kayuhan di kediaman rasmi Undang Luak Rembau di sini hari ini.

Mohd. Shahir bersama dua lagi rakan OKU yang terdiri daripada Guru Cemerlang Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Kebangsaan Undang Rembau, Shamsul Anuar Amat Kasi dan Pengurus Besar (Ke­selamatan, Kesihatan, Persekitaran dan Kualiti) Medivest Sdn. Bhd., Ir. Shaharuddin Sidek.

Mereka bersama lebih 20 peserta lain dalam misi memecahkan rekod Malaysia Book of Records (MBR) bagi Kayuhan Bersama Kumpulan (Orang Buta) Seiring Paling Jauh sejauh 172 kilometer bermula di sini hari ini.

Acara pelepasan peserta kayuhan berkenaan disempurnakan oleh Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan turut dihadiri oleh isteri beliau, Toh Puan Siti Ramalah Yunus.

Hari pertama kayuhan hari ini bermula di Balai Lela Sedia, Balai Undang Rembau di sini melibatkan laluan Pedas, Paroi, Mantin dan ber­akhir di Maktab Penjara Malaysia di Kajang sejauh 110 kilometer.

Esok, kumpulan itu akan meneruskan kayuhan ke laluan Putrajaya dan Puchong sebelum berakhir di Hotel One World, Petaling Jaya pada kira-kira pukul 9.20 malam di mana akan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Muhamad Sharip yang juga selaku Penaung program, berharap program tersebut dapat memberi inspirasi kepada golongan OKU bahawa tiada halangan untuk mereka mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi mereka.

“Kita berbangga kerana kesemua mereka ini datangnya dari Rembau dan sudah pastinya mengharumkan nama Negeri Sembilan di negara ini. Saya berharap mereka dapat memenuhi matlamat yang dikehendaki," kata beliau.

Acara itu dianjurkan oleh Persatuan Sukan OKU Penglihatan Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Penjara Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah Rembau, MBR dan Ghombau Cycling Community.

Pada 9 Disember tahun lalu, kumpulan tersebut sudahpun mencatatkan rekod kayuhan sejauh 110 kilometer. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment