My Add

Wednesday 30 April 2014

PM umum 13 pemenang Superb

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
 
 * NAJIB Tun Razak dan Muhyiddin Yassin bergambar bersama 13 pemenang geran Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) dalam majlis pengumuman pemenang skim berkenaan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, semalam. Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (duduk, kanan), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (duduk, dua dari kanan ) dan Ketua Eksekutif Teraju, Husni Salleh (duduk, empat dari kiri). - UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA, SELASA, 29 April, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan senarai 13 peserta program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) yang berjaya memperoleh geran sebanyak RM500,000 setiap seorang.

Beliau berkata, kesemua pemenang berjaya mengalahkan 12 peserta lain di peringkat akhir dengan mengetengahkan idea perniagaan yang sangat berkualiti dan boleh memberi impak tinggi kepada pasaran.

“Sebanyak 13 pemenang program Superb ini sememangnya mempunyai idea, berpotensi dan mempunyai aplikasi yang sangat baik. Sehubungan itu, saya akan meminta supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) membantu mereka untuk terus mengembangkan perniagaan ini.

“Sekiranya boleh, perniagaan ini bukan sahaja dikomersialkan tetapi kalau produk ini boleh digunakan oleh kerajaan atau syarikat milik kerajaan (GLC) kita akan minta mereka gunakan produk berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pengumuman pemenang program Superb di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada majlis itu, sebanyak 13 peserta diumumkan sebagai pemenang iaitu Megat Farril Rizal; Syed Ahmad Fuqaha Syed Agil; Muhamad Shahril Shahbudin; Nur Hidayah Hassan; Nur Azini Mohamed Kamal; Ku Addy Fazly Ku Radin dan Mohd. Izmir Yamin.

Turut berjaya mendapat geran tersebut ialah Farid Hidayat Fadzil; Mohammad Razak Hamdan; Shahrizan Najib; Sharul Azmi Samsudin; Syahrizal Salleh dan Mohd. Khairul Naem Mokhtar.

Program Superb merupakan sebuah program yang diwujudkan khusus untuk membantu usahawan bumiputera dengan mengetengahkan idea perniagaan berkualiti tinggi bagi merebut geran sebanyak RM100 juta yang disediakan untuk tempoh tiga tahun ini.

Peserta yang terpilih menyertai program tersebut kemudiannya akan disenarai pendek oleh Teraju untuk ke peringkat seterusnya sebelum dipilih sebagai pemenang oleh juri profesional.

Menurut Perdana Menteri, kesemua pemenang tersebut dipilih oleh tokoh perniagaan terkemuka negara yang bertindak sebagai juri iaitu Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd., Datuk Ameer Ali Mydin; Pengerusi Eksekutif AirAsia Bhd., Datuk Kamarudin Meranun; Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Cawangan Sabah, Datuk Awang Buhtaman serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OMNI Petromaritime Sdn. Bhd., Dr. Jamal Yusuf.

Najib berkata, kesemua pemenang dipilih berdasarkan kebolehan masing-masing dan bukan disebabkan sistem kuota atau pengaruh sesiapa.

Sejak penyertaan dibuka selama tiga minggu bermula pada 2 Februari lalu, sebanyak 1,719 permohonan telah diterima dan selepas melalui proses tapisan sebanyak 25 peserta berjaya ke peringkat akhir sebelum 13 daripadanya diumumkan sebagai pemenang.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bagi membantu sebanyak 12 peserta akhir lain meneruskan bidang perniagaan masing-masing, pihaknya juga bersetuju memberikan hadiah saguhati sebanyak RM25,000 setiap seorang.

Beliau turut mengumumkan bahawa program Superb siri kedua akan bermula pada 2 Mei ini dan semua usahawan muda bumiputera termasuk dari Sabah dan Sarawak dipelawa untuk menyertai program tersebut.

“Bagi yang tidak berjaya dalam siri pertama, mereka juga boleh membuat permohonan semula dengan membuat penambahbaikan pada model perniagaan dan teknologi yang diketengahkan.

“Saya harap pemenang program Superb ini akan menjadi penanda aras kepada usahawan yang akan datang serta saya mengucapkan selamat maju jaya dan semoga program ini memberi kesan yang cukup besar kepada semua," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment