My Add

Wednesday 30 April 2014

Polis berkas balu disyaki ahli militan

Oleh Ilah Hafiz Aziz
 
 * AHMAD Zahid Hamidi ceria ketika menerima jersi pasukan bola sepak Penjara FC sambil diperhatikan oleh Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff (tiga dari kiri) selepas melancarkan jersi Penjara FC di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
HULU LANGAT, SELASA, 29 April, 2014: Seorang lagi suspek ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan mirip pengganas Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI) yang diberkas polis dalam beberapa siri serbuan di Selangor dan Kedah, kelmarin.

Balu berusia 55 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan di kawasan Keramat, Kuala Lumpur pada pukul 4.40 petang semalam.

Berikutan penahanan wanita berkenaan, jumlah ahli kumpulan yang dipercayai membawa fahaman ‘Salafi Jihadi’ itu kini meningkat kepada 10 orang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengesahkan penahanan itu berkata, pihaknya yakin ada saki-baki ahli kumpulan tersebut yang masih bebas.

Beliau turut mengesahkan kumpulan yang mirip rangkaian pengganas Al-Qaeda dan JI itu mempunyai perancangan untuk menyertai misi jihad di beberapa negara bergolak.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau dan mencari saki-baki mereka.

“Kita percaya ahli kumpulan itu mesti lebih daripada 10 orang yang ditahan ini. Kita akan pastikan tiada seorang pun terlepas dan mereka akan dibawa ke pangkal jalan.

“Malaysia adalah sebuah negara Islam yang mengamalkan kesederhanaan dan kita tidak menerima sebarang unsur militan atau mereka yang taksub dengan cara sebegini sehingga akhirnya memburukkan Islam dan negara ini sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Timed Based kepada 1,242 Koperal dan Sarjan Penjara Zon Tengah di Maktab Penjara Malaysia, di Kajang hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment