My Add

Wednesday 30 April 2014

75 tahun Taman Negara

 * NANTHAN Vaithi (tiga, kanan) bersama kakitangan Mutiara Taman Negara menunjukkan baju T yang dipromosikan oleh pihak resort berkenaan sempena 75 tahun Taman Negara di Kuala Tahan, Pahang, semalam.
KUALA TAHAN, SELASA, 29 April, 2014: Taman Negara yang memiliki pelbagai khazanah unik termasuk hutan belantara paling tua di dunia, masih terus menerima kunjungan pelancong dalam dan luar negara.

Namun, kehadiran pelancong itu didapati berkurangan kira-kira 10,000 orang pada tahun lalu berbanding 2012.

Antara faktor didakwa menjadi punca berkurangan jumlah pelancong ialah kurangnya promosi berterusan.

Apa pun faktornya, yang penting Taman Negara akan menyambut ulang tahun ke 75 pada Jun depan setelah sekian lama digazetkan sebagai kawasan hutan simpan kekal.

Pengurus Besar Mutiara Taman Negara, Nanthan Vaithi berkata, sempena sambutan itu pihaknya telah mengaturkan beberapa program untuk memeriahkan sambutan dalam usaha menerima kedatangan lebih ramai pelancong.

Menurutnya, antaranya ialah mengadakan Larian Taman Negara, berkayak dari Kampung Pagi hingga ke Kuala Tahan, aktiviti memulihara kawasan hutan dan banyak lagi.

“Kita telah memulakan beberapa program bagi mempromosikan 75 tahun Taman Negara sejak awal tahun lagi. Bermula Jun hingga Ogos depan, promosi itu digiatkan dengan pelbagai aktiviti termasuk melibatkan hidupan liar seperti mengenali spesies burung dan sebagainya,’’ katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah mengadakan promosi oleh pihak resort iaitu Mutiara Taman Negara, bertujuan menghargai serta mengekalkan khazanah sedia ada.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita patut berasa bangga kerana hutan di Taman Negara ini lebih tua berbanding hutan di Amazon.

“Malah, Taman Negara juga memiliki kanopi terpanjang di dunia iaitu 530 meter,’’ katanya.

Nanthan menambah, sempena 75 tahun Taman Negara, semua pihak termasuk pengusaha resort dan agensi pelancongan digesa sama-sama menyemarakkan sambutan tersebut dengan mengadakan program dan promosi berkaitan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment