My Add

Tuesday 29 April 2014

Syarikat maritim Australia dakwa temukan serpihan MH370

PERTH, SELASA, 29 April, 2014: Sebuah syarikat penerokaan maritim Australia mendakwa menemukan serpihan pesawat yang dipercayai milik Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, kira-kira 5,000 kilometer dari lokasi pencarian di Lautan Hindi.

Rangkaian televisyen Australia, Channel 7 melaporkan, syarikat GeoResonance yang beribu pejabat di Adelaide, melakukan pencarian pesawat berkenaan sejak 10 Mac dan mengesan objek yang berkemungkinan serpihan pesawat di Teluk Benggala, semalam.

Wakil syarikat itu, Pavel Kursa berkata, pihaknya menggunakan imej satelit dan pesawat untuk meninjau kawasan seluas lebih dua juta kilometer persegi yang dipercayai lokasi pesawat yang membawa 239 penumpang terbabit hilang.

"Objek yang ditemukan di dasar laut Teluk Benggala mirip bahan yang digunakan dalam pembuatan kapal terbang.

"Kami mengenal pasti elemen kimia dan bahan yang terdapat pada pesawat Boeing 777 termasuk aluminium, titanium, tembaga, besi aloi dan bahan-bahan lain," katanya.

Seorang lagi wakil syarikat, David Pope berkata, GeoResonance menggunakan teknologi khas untuk mengesan peledak nuklear dan kapal selam bagi mencari serpihan MH370.

Bagaimanapun, Pope berkata, pihaknya cuba menghubungi pegawai yang terlibat dalam operasi pencarian itu, tetapi gagal menerima sebarang maklum balas. - AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment