My Add

Tuesday 29 April 2014

Perjanjian komersial RM6.4 bilion

Oleh JOHARDY IBRAHIM
 
 * BARACK Obama sambil diperhatikan oleh Najib Tun Razak berucap pada majlis pemeteraian perjanjian komersial antara syarikat Malaysia dan AS bernilai RM6.4 bilion di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 April, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama hari ini menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian komersial antara syarikat negara ini dengan AS bernilai AS$2 bilion (RM6.4 bilion) dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans di Malaysia.

Obama dalam ucapan ringkasnya mengalu-alukan kerjasama antara pihak swasta Malaysia dan AS yang pastinya bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang ekonomi kepada kedua-dua negara.

"Semalam, kita bersetuju bagi perkongsian komprehensif baharu antara Malaysia dan AS, dan berusaha untuk mengembangkan ekonomi kita.

"AS sudah menjadi pelabur asing terbesar di Malaysia dan Malaysia adalah pelabur yang paling pesat berkembang di Amerika Syarikat," katanya.

Presiden AS itu berkata, mengenai masa depan, kedua-dua negara boleh mengharapkan pertumbuhan dan kemakmuran yang lebih baik lagi.

"Ini memerlukan komitmen dan peningkatan usaha, lebih bersaing, melabur lebih lagi, bukan sahaja di negara lain tetapi di seluruh rantau ini.

"Kita perlu melakukan lebih lagi untuk menggalakkan lebih banyak perdagangan dan ini termasuk mengurangkan beberapa halangan sedia ada bagi perdagangan dan pelaburan, menyokong perkongsian, eksport dan pekerjaan," katanya.

Syarikat-syarikat terbabit ialah GE Aviation dengan Kumpulan AirAsia untuk pembelian enjin 80E1 untuk 25 pesawat baharu Airbus A330-300 milik AirAsia X bernilai lebih AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion).

Syarikat kedua ialah Kumpulan Sime Darby untuk mengambil alih 30 peratus kepentingan bernilai AS$30 juta (RM96 juta) dalam firma bioteknologi Verdezyne yang berpangkalan di San Diego, California.

Yang ketiga ialah perkongsian antara Ambank dan Metlife, yang telah melabur hampir AS$249 juta (RM812 juta) untuk membeli kepntingan dalam AmLife dan AmTakaful, sekali gus pelaburan pertama firma AS dalam pasaran takaful Malaysia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment