My Add

Wednesday 30 April 2014

UMMB dapat penangguhan sementara kes saman fitnah

PUTRAJAYA, SELASA, 29 April, 2014: Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) hari ini berjaya mendapat penangguhan sementara perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu, Sabah.

Perkara itu berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Zaharah Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh membenarkan rayuan syarikat akhbar ini.

UMMB merayu agar perbicaraan kes saman itu ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan syarikat itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menggugurkan hakim yang mendengar perbicaraan tersebut.

Kuorum berkenaan membenarkan penangguhan singkat selama kira-kira sebulan dan menetapkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur didengar pada 28 Mei ini.

Pada 18 April lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop memutuskan untuk tetap mendengar perbicaraan itu selepas menolak permohonan UMMB supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes saman tersebut.

Hakim berkenaan berpuas hati bahawa kebimbangan dan dakwaan syarikat akhbar ini berhubung akan timbulnya unsur berat sebelah, adalah tidak berasas.

Rosilah menyatakan, tiada unsur berat sebelah mahupun prejudis ke atas UMMB mahupun Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

UMMB memfailkan permohonan itu setelah mendakwa Rosilah dalam penghakimannya berhubung satu kes saman lain pada 19 Februari lalu berpendapatAnwar merupakan pemimpin dan ahli politik yang terkenal di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa, berperwatakan dan reputasi baik namun telah difitnah oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Dalam kes saman Anwar, 67, terhadap Wan Muhamad Azri, 31, Rosilah memutuskan bahawa defendan itu adalah pemilik blog, www.papagomo.com dan memerintahkannya membayar ganti rugi RM800,000 kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Sebelum itu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili UMMB merayu agar keputusan Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara atas alasan perbicaraan itu hanya akan membuang masa mahkamah.

Menurut peguam bela, jika Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan anak guamnya dan memerintahkan prosiding didengar di hadapan seorang hakim lain, ini bermakna keseluruhan perbicaraan yang telah dijalankan akan dipadam.

Sementara itu, J. Leela yang mewakili Anwar berhujah agar rayuan bagi penangguhan sementara itu ditolak atas alasan ia hanya akan memprejudiskan Ketua Pembangkang itu.

Dalam saman yang difailkan pada 8 Mac tahun lalu, selain UMMB dan Aziz, pihak plaintif turut menamakan TV3; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd., Datuk Shaharudin Abd. Latif dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar menyatakan, Utusan Malaysia bertarikh2 Mac 2013 di muka hadapannya, menyiarkan artikel bertajuk Ketua Pembangkang dikaitkan dengan penceroboh­an? dan di muka surat sembilan pula bertajuk, Tiga kumpulan jadi dalang.

Ketua Pembangkang itu menyatakan, defendan ketiga hingga kelima, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama, TV3 turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa, berita di rangkaian televisyen swasta itu adalah berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan oleh defendan pertama dan kedua. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment