My Add

Wednesday 30 April 2014

Program Peguam Perintis Muda tawar RM200,000 tubuh firma guaman

KUALA LUMPUR, RABU, 30 April, 2014: Seramai 30 peserta dipilih menyertai program Peguam Perintis Muda yang menawarkan pembiayaan RM200,000 seorang bagi menubuhkan firma guaman sendiri.

Program itu, yang dianjurkan hasil kerjasama Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Biro Profesional Muda Umno, Al Rajhi Bank dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), dilancarkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di sini, hari ini.

Turut hadir, pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Pengerusi Biro Profesional Muda UMNO Shahril Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi Bank Datuk Azrulnizam Abd. Aziz.

Dalam ucapannya, Khairy berkata, program berkenaan merupakan titik permulaan bagi memperkasa bidang profesional golongan muda yang bersikap mesra rakyat.

Ia juga untuk memupuk kerjasama antara penganjur dan perantis bagi melahirkan peguam muda yang bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berdepan cabaran dunia perundangan.

``Ia (program) juga sebahagian daripada usaha mendekatkan peguam muda dengan masyarakat awam dan membentuk deria kemasyarakatan yang lebih tinggi.

``Ini kerana rata-rata masyarakat mempunyai tanggapan bahawa golongan profesional ini sukar didekati dan juga terdapat jurang perbezaan taraf dan gaya hidup,'' katanya.

Menerusi program itu, para peserta akan diberi latihan selama tiga bulan bersama tokoh-tokoh perundangan, korporat, perbankan, pemasaran, jenama dan keusahawanan sosial sebelum membuka firma guaman masing-masing.

Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, program seumpama itu akan diperluas ke bidang lain menerusi inisiatif mentor dan mentee, bimbingan kerjaya serta peningkatan kualiti supaya lebih ramai golongan profesional muda maju dalam kerjaya masing-masing.

Menurutnya, program itu antara usaha Pemuda UMNO untuk mendekati golongan profesional muda kerana mereka adalah penggerak utama sektor ekonomi yang merupakan tunjang utama negara.

Pada pelancaran itu, Khairy turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SukaGuam, Biro Profesional Muda Umno dan Al Rajhi Bank. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment