My Add

Wednesday 30 April 2014

Usaha komersialkan perisian pertahanan bakal terlaksana

PUTRAJAYA, SELASA, 29 April, 2014: Selepas lebih dua tahun mencuba akhirnya idea seorang pakar perisian tempatan untuk mengkomersialkan perisian pertahanan keselamatan ciptaannya sendiri ke peringkat global bakal terlaksana selepas terpilih sebagai salah seorang pemenang program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb).

Pengusaha perisian pertahanan keselamatan, Megat Farril Rizal, 37, yang mencipta sistem penyelesaian keselamatan untuk semua jenis keselamatan data berjaya mendapat geran sebanyak RM500,000 bagi mengembangkan perniagaannya itu.

Beliau berkata, sistem perisian yang diciptanya itu sangat istimewa kerana memberikan perlindungan data yang sangat optimum dan pertama dicipta di negara ini.

“Saya mendapat idea ini ketika bekerja di China sebagai jurutera perisian beberapa tahun lalu dan dari sana saya mendapat idea untuk mencipta perisian keselamatan pelbagai lapisan kerana sekarang hanya terdapat sistem satu lapisan sahaja di dunia.

“Sistem yang saya cipta ini yang dinamakan sebagai ENCR8TOR Xlayer adalah sistem penyelesaian keselamatan bagi semua jenis keselamatan data dengan mempunyai sebanyak 10 lapisan yang menyukarkannya untuk digodam," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pengumuman pemenang program Superb di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Seorang lagi pemenang, pemilik Impulse Studio Sdn. Bhd., Nur Azini Mohamed Kamal berkata, beliau tidak menjangka ideanya yang mengetengahkan sebuah alat gimnasium alternatif iaitu simulator elektrik otot (EMS) berjaya mengangkatnya sebagai salah seorang pemenang program itu.

Beliau berkata, alat senaman tersebut 18 kali lebih cekap daripada senaman secara konvensional dan dapat memberikan keputusan yang cemerlang dalam masa singkat.

“Selain itu, alat ini juga membantu dalam penjimatan kos seterusnya meningkatkan tahap kesejahteraan diri dalam jangka masa panjang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment