My Add

Wednesday 30 April 2014

Air bekas lombong jejas kesihatan?

Oleh ZULKIFLI SAINUDDIN

SHAH ALAM, SELASA, 29 April, 2014: Air dari bekas lombong di Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya yang dipam ke Sungai Selangor untuk kegunaan penduduk di Lembah Klang, termasuk diminum sejak minggu lalu disahkan mengandungi unsur logam yang boleh menjejaskan kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi bagaimanapun berkata, jumlah kandungan logam jenis plumbum dan mangan dalam bekas lombong berkenaan masih terkawal serta belum melebihi tahap berbahaya.

Menurutnya, kualiti air lombong tersebut menepati piawaian keselamatan Jabatan Kesihatan Negeri berdasarkan kajian yang dibuat pada 2013 selain pengesahan tidak berbahaya serta selamat untuk digunakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

“Sebelum kita membuat keputusan mengepam air lombong ke Sungai Selangor bulan lalu, LUAS turut mengambil sampel bacaan di lokasi dan bacaan masih menunjukkannya menepati syarat Jabatan Kesihatan.

“Saya harap perkara ini tidak diperbesar-besarkan kerana sebelum ini ada juga pihak yang menggunakan air kumbahan yang dirawat untuk kegunaan harian tetapi tidak pula mendatangkan masalah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini menepis dakwaan yang mengatakan langkah kerajaan negeri menggunakan air mentah dari bekas lombong untuk menampung keperluan air di Lembah Klang boleh menimbulkan masalah kesihatan kerana terdapat kandungan logam berat di dalamnya.

Kandungan air dari bekas lombong tersebut katanya, selamat digunakan berdasarkan kaedah pensampelan yang dibuat oleh Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan.

Ahmad Yunus menambah, air dari bekas lombong yang dipam ke dalam Empangan Sungai Selangor akan dihantar ke loji rawatan terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada pengguna.

“Begitu juga air lombong yang dipam ke dalam Empangan Sungai Selangor, bukan terus ke paip tetapi akan dihantar ke loji rawatan untuk dirawat sebelum disalur ke paip pengguna," jelasnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai teknologi yang ada di loji rawatan yang didakwa tidak mampu untuk mengasingkan bahan logam berbahaya dari air yang disedut itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment