My Add

Wednesday 30 April 2014

Yadim: Ruang UMNO, Pas duduk semeja

KOTA BHARU, SELASA, 29 April, 2014: Cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa teknikal hudud di peringkat kebangsaan secara tidak langsung memberi ruang kepada UMNO dan Pas untuk duduk semeja bagi membincangkan perkara berkaitan masa depan serta hala tuju Islam di negara ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedua-dua belah pihak yang dilaporkan memberi reaksi positif mengenai cada­ngan tersebut membuktikan Islam lebih di­utamakan manakala soal politik kepartian boleh ditolak ke tepi.

Malah, katanya, kese­diaan dua parti politik itu mengutamakan Islam melebihi perkara lain turut disambut baik Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila Mursyidul Am Pas itu mengakui beliau menyokong cadangan tersebut.

“Ketika kami bertemu dan berbincang, beliau sebagai bekas Menteri Besar memberitahu men­yokong (cadangan) namun tidak mahu terlibat dan menyerahkan perkara tersebut kepada kepimpinan negeri.

“Ini perkara positif kerana buat pertama kali, satu isu membolehkan dua parti politik besar duduk bersama tanpa perlu meleburkan identiti parti bagi berbincang mengenai masa depan dan hala tuju Islam di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi Nik Abdul Aziz di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar diwujudkan jawatankuasa teknikal khas di pe­ringkat kebangsaan bagi membincangkan hudud membabitkan wakil daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan Pusat dan negeri.

Cadangan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO itu mendapat reaksi positif Dewan Ulama Pas Kelantan yang dilaporkan bersedia menghantar wakilnya bagi menyertai jawatankuasa berkenaan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, jika diberi kepercayaan pucuk pimpinan untuk mewakili parti dalam jawatankuasa itu, beliau sedia menggalas tugas terbabit.

“Perkara ini saya serah kepada pucuk pimpinan namun jika diamanahkan, saya tidak akan menolaknya," katanya.

Asyraf Wajdi dalam pada itu memberitahu, pertemuan dengan Nik Abdul Aziz merupakan sebahagian daripada program lawatan beliau untuk bertemu tokoh-tokoh terawal yang pernah memimpin Yadim ketika yayasan berkenaan ditubuhkan 40 tahun lalu.

“Ketika Yadim ditubuhkan pada 1974, beliau (Nik Abdul Aziz) merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang pertama," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment