My Add

Wednesday 30 April 2014

Terminal klia2 beroperasi seperti dijadualkan Jumaat ini - Hishammuddin

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

SEPANG, RABU, 30 April, 2014: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin terminal baharu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang dibuka pada 2 Mei ini akan beroperasi dengan lancar seperti dijadualkan.

Terminal klia2 akan menerima pendaratan penerbangan pertama yang menggunakan fasiliti ikon terbaharu itu pada pukul 12.01 minit, Jumaat ini.

Menurut Hishammuddin, selepas melakukan lawatan beberapa kali ke klia2 sejak 12 bulan lalu, beliau amat optimis akan kemampuan terminal ini beroperasi seperti yang dijadualkan.

``Selepas saya melakukan beberapa siri lawatan ke klia2, termasuk ke menara kawalan udara di Tower West, saya amat yakin Jumaat ini, klia2 akan menerima penerbangan pertama mereka dengan lancar.

``Malah keyakinan saya lebih pasti selepas melihat lebih 80,000 pengunjung hadir melawat klia2 baru-baru ini dan ini menepis segala andaian serta tohmahan yang mengatakan klia2 tidak mampu beroperasi.

``Malah, klia2 turut menerima laporan positif daripada konsultan dalaman dan bebas yang mengatakan ia memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa.

``Namun, kita tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan di klia2 dan saya sudah memaklumkan kepada semua agensi terlibat untuk memastikan aspek keselamatan diambil berat sebagai perkara utama dalam operasi klia2," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ringkas melihat persiapan operasi klia2 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri Kerja Raya, Datuk Fadhillah Yusof; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi; Ketua Pegawai Operasi, Malaysia Airport Berhad, Datuk Abd. Hamid Md. Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link Sdn. Bhd., Noormah Mohd. Noor.

Terdahulu, Hishammuddin turut menaiki ERL, KLIA Transit dari Stesen Putrajaya/Cyberjaya menuju klia2 yang memakan masa selama 20 minit.

Trek baharu sambungan ERL dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejauh 2.2 kilometer itu telah disiapkan pada Oktober 2013 dan akan memakan masa selama 33 minit dari KL Sentral menggunakan KLIA Ekspres.

Bagi pengguna antara terminal KLIA dan klia2, mereka akan dikenakan bayaran RM2, manakala tambang dari KL Sentral ke klia2 akan sama seperti tambang ke KLIA iaitu RM35 sehala. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment