My Add

Wednesday 30 April 2014

Perlu dialog, tubuh jawatankuasa khas sebelum laksana hudud

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 April, 2014: Pemimpin-pemimpin Islam Barisan Nasional (BN) dan Pas perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengenai pelaksanaan hukum hudud yang berperanan memberikan kefahaman jelas kepada rakyat berhubung hukum berkenaan.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jawatankuasa itu perlu ditubuhkan segera sebelum rang undang-undang persendirian mengenai hudud dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, penjelasan pelaksanaan hudud perlu dilakukan secara meluas termasuk kepada orang bukan Islam yang kini dilihat menentang secara terbuka rang undang-undang terbabit.

“Orang Islam sendiri pun, ramai yang kurang faham apa itu hudud. Ini perlu dijelaskan. Eloklah pemimpin-pemimpin Islam (BN dan Pas) duduk semeja, tubuhkan satu jawatankuasa khas, buat forum, dialog menerangkan kepada rakyat.

“Perkara ini perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum hendak dibawa ke Parlimen. Kalau nak menerangkannya di Parlimen, ini memakan masa dan kita pun ada banyak perkara lain nak dibawa ke Parlimen," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mohd. Ali berkata, jawatankuasa khas itu juga perlu dianggotai para pemikir Islam, Majlis Fatwa Kebangsaan dan pengamal undang-undang syariah bagi mendapatkan pandangan yang meluas mengenai hudud.

Dalam perkembangan lain, bekas Ketua Menteri Melaka itu memberitahu, beberapa isu melibatkan Melaka perlu diberikan perhatian khusus oleh Kerajaan Persekutuan, khususnya bekalan air yang dijangka mampu bertahan sehingga 2018 jika pembinaan Empangan Sungai Jerneh tidak dilaksanakan segera.

“Di bandar Melaka juga memerlukan sebuah hospital baharu memandangkan Hospital Melaka kini sudah sesak dan lama. Soal kesesakan juga perlu diberikan tumpuan kerana Melaka merupakan negeri tumpuan pelancong.

“Isu-isu lain membabitkan ke­perluan pembinaan insinerator dan masalah pembetungan berpusat serta perlunya pembinaan lebih banyak rumah mampu milik," tambahnya.

Menjawab isu berkaitan pinjaman keusahawanan, beliau yang kini Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menjelaskan, agensi itu berusaha mempercepatkan proses kelulusan pinjaman bagi membantu melahirkan lebih banyak usahawan bumiputera.

“Sekarang ini kita fokus kepada bidang baharu iaitu perniagaan alat ganti kenderaan dan barangan perkakasan. Kita juga menggalakkan peminjam PUNB meningkatkan rangkaian perniagaan masing-ma­sing bagi mengukuhkan ekonomi bumiputera," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment