My Add

Wednesday 30 April 2014

Majlis Ulama Pemuda UMNO diwujudkan

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 April, 2014: Pemuda UMNO hari ini mengumumkan kewujudan Majlis Ulama pergerakan itu yang akan menjadi platform dalam kalangan belia berkongsi idea dan pandangan terhadap isu berkaitan agama di negara ini.

Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, majlis itu berfungsi sebagai penasihat agama dengan pendekatan lebih terbuka bagi membolehkan graduan lulusan bidang agama atau ulama muda menjadi panel penasihat kepada barisan kepemimpinan Pemuda.

“Majlis Ulama Pemuda mengalu-alukan pembabitan graduan lulusan agama luar negara dan universiti tempatan kerana kita tahu mereka kekurangan saluran untuk menyumbang idea.

“Malah, ramai antara mereka tidak mahu terbabit secara langsung dalam politik, tapi menerusi Majlis Ulama Pemuda, mereka bebas melontarkan pandangan dan buah fikiran demi kemaslahatan umat khususnya belia," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, penubuhan majlis itu susulan lawatan Pemuda ke Asia Barat baru-baru ini dan supaya ia menjadi wadah kepada pelajar bidang agama di luar negara untuk menyumbang idea bersama UMNO selepas pulang ke tanah air.

Mengulas lanjut, Khairul Azwan berkata, struktur majlis itu lebih longgar supaya bebas disertai oleh mana-mana golongan agama dan tidak terikat secara langsung dengan parti itu.

“Kita yakin menerusi pendekatan lebih terbuka seumpama ini kita dapat menarik lebih ramai ulama muda dan golongan ilmuan agama memberikan pandangan mereka sekali gus memastikan sesuatu isu agama yang dibangkitkan tidak hanya terhad kepada pandangan beberapa ulama sahaja.

“Apa salahnya kita dengar juga pandangan ulama muda, bidang agama ini luas, kalau dengar pendapat satu atau dua ulama saja, mereka bukan sempurna kerana manusia banyak kekhilafan. Kita nak pandangan yang majmuk, banyak dan dapat menghasilkan sesuatu keputusan yang baik," katanya.

Majlis Ulama Pemuda yang diwujudkan di bawah Akademi Pemuda diketuai Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi Pemuda, Dr. Fathul Bari Mat Jahaya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment