My Add

Wednesday 30 April 2014

Guna BB1M beli buku akademik

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

PUTRAJAYA, SELASA, 29 April, 2014: Berkuat kuasa 1 Mei ini, baki pembelian buku menerusi Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang bernilai RM250 tidak boleh dibelanjakan untuk membeli barangan lain selain daripada buku.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, garis panduan terbaharu itu turut menyebut penebusan BB1M hanya dibenarkan untuk pembelian buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah yang berdasarkan keperluan institusi pengajian masing-masing.

Selain itu mana-mana pemilik kedai buku yang didapati bersalah menyalahgunakan BB1M akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan menyertai program baucar tersebut selama tiga tahun berturut-turut.

“Hal itu ekoran peraturan BB1M yang tidak boleh dipindah milik, ditukarkan dalam bentuk wang tunai dan dijual kepada pihak ketiga.

“Mana-mana pihak yang didapati bersubahat dalam perkara ini, mereka boleh didakwa bersubahat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," kata kenya­taan itu hari ini.

Kenyataan itu menyebut per­untukan undang-undang ber­kenaan turut terpakai kepada pemilik kedai buku memandangkan kementerian memandang serius terhadap isu penyalahgunaan dan penyelewengan BB1M yang terjadi sebelum ini.

Kementerian Pendidikan menjelaskan bahawa tujuan pihaknya mengemas kini garis panduan BB1M tersebut bertujuan memastikan pemberian baucar itu mencapai matlamatnya.

Katanya, tujuan utama kerajaan memperkenalkan BB1M adalah bagi meringankan beban per­belanjaan pembelian buku-buku pengajian dan memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sejak diperkenalkan pada 2012, lebih 3.9 juta mahasiswa pra-universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) warga Malaysia menerima manfaat menerusi pelaksana­an program itu dengan peruntukan RM890 juta.

“Bagi tahun ini, peruntukan sebanyak RM325 juta telah diluluskan kerajaan untuk menjayakan pemberian BB1M kepada 1.3 juta mahasiswa melalui Bajet 2014 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Oktober 2013," katanya.

Maklumat lanjut mengenai pindaan garis panduan tersebut boleh didapati melalui portal rasmi kementerian di www.moe.gov.my dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada urusetia BB1M menerusi e-mel bb1m@moe.gov.my. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment