My Add

Tuesday 29 April 2014

Petronas dapat pembeli LNG keempat bagi projek di Kanada

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 April, 2014: Unit Petronas, Progress Energy Canada Ltd, dan Pacific Northwest LNG telah menandatangani perjanjian urus niaga dengan China Petrochemical Corporation (SINOPEC) bagi projek gas asli cecair (LNG) di Kanada.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Petronas berkata, SINOPEC kini merupakan rakan kongsi keempat dalam satu konsortium pembeli LNG yang akan dibawa oleh Petronas ke projek eksport LNG di British Columbia.

Petronas berkata, Progress Energy dan Pacific Northwest telah menandatangani perjanjian yang bakal menyaksikan SINOPEC, melalui syarikat-syarikat gabungannya, membeli 15 peratus kepentingan dalam rizab LNG eksport Progress Energy di timur laut British Columbia dan dalam cadangan kemudahan eksport LNG Pacific NorthWest di Pantai Barat Kanada.

Sebagai sebahagian daripada urus niaga itu, SINOPEC juga bersetuju untuk membeli 1.8 juta tan LNG setahun (MTPA), yang bersamaan dengan 15 peratus pengeluaran pro-rata kemudahan LNG itu, bagi tempoh minimum selama 20 tahun.

Selain urus niaga itu, SINOPEC, melalui syarikat gabungannya, juga menandatangani satu Perjanjian Dasar Induk yang mengikat dengan PETRONAS bagi pembelian 3 MTPA LNG tambahan selama 20 tahun, yang diperoleh daripada projek LNG Pacific Northwest.

Kenyataan Petronas itu menyatakan jumlah tambahan sebanyak 3 MTPA itu serta pembelian LNG ekuiti sebanyak 1.8 MTPA, menjadikan SINOPEC satu daripada pembeli LNG terbesar daripada portfolio PETRONAS.

Ia berkata urus niaga dengan SINOPEC itu adalah susulan dua urus niaga yang diumumkan sebelumnya pada 2013 yang menyaksikan JAPEX Montney Ltd dan PetroleumBRUNEI masing-masing membeli 10 peratus dan 3 peratus kepentingan dalam projek itu.

Baru-baru ini, PETRONAS mengumumkan penyertaan ekuiti sebanyak 10 peratus dalam projek itu oleh Indian Oil Corporation Ltd.

Berikutan selesainya urusan pembelian oleh Indian Oil Corporation Ltd dan SINOPEC itu, PETRONAS akan memegang 62 peratus kepentingan dalam projek bersepadu itu dan akan terus berusaha bersama dengan pelanggan dan rakan kongsi yang berpotensi untuk mendapatkan pasaran bagi LNG.

Menurut kenyataan itu, setiap satu daripada rakan kongsi itu akan membeli sejumlah LNG yang diperuntukkan kepada kepentingan ekuiti huluan dan hiliran masing-masing dalam projek itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment