My Add

Tuesday 29 April 2014

29 penumpang terselamat, bas ekspres terbabas di Gua Musang

GUA MUSANG, SELASA, 29 April, 2014: Sebanyak 29 penumpang sebuah bas ekspres terselamat selepas kenderaan itu terbabas ke dalam parit di Km 3.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Bandar Utama di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt. Saiful Bahri Abdullah berkata, bas ekspres Shamisha Holiday itu remuk sedikit di bahagian depan dan tiada penumpang mengalami kecederaan.

Menurutnya, bas itu dipercayai hilang kawalan sebaik melepasi kawasan selekoh menuruni bukit sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan lalu terhumban ke dalam parit dalam kejadian 3.30 pagi.

"Bagaimanapun, penumpang yang menaiki bas yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudian menaiki bas lain daripada syarikat sama untuk meneruskan perjalanan," katanya ketika dihubungi.

"Setakat ini, kita belum menerima sebarang laporan daripada pemandu bas berhubung kejadian itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment