My Add

Wednesday 30 April 2014

Kedudukan Bernas dikaji semula

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED dan MOHD. SHAHRIZA ABDULLAH

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 April, 2014: Kabinet memutuskan untuk mengkaji semula kedudukan Padiberas Nasio­nal Bhd. (Bernas) sebagai pengimport tunggal beras di negara ini.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan Senator Datuk Chin Su Phin berhubung monopoli import beras oleh syarikat berkenaan.

“Baru-baru ini, Kabinet buat keputusan untuk mengkaji semula import tunggal itu iaitu monopoli import beras oleh Bernas. Memanglah permit import (AP) bagi beras hanyalah Bernas.

“Oleh itu, kementerian telah diminta untuk membuat kajian semula dan akan membentangkan hasil kajian ke Kabinet bagi tindakan lanjut," kata­nya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Ismail Sabri memberitahu, kerajaan mengeluarkan AP beras hanya kepada Bernas selaras dengan perjanjian konsesi antara kedua-dua pihak yang berkuat kuasa sehingga 2021.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak kementerian sedang menjalankan kajian untuk menyenaraikan beberapa jenis padi termasuk padi hibrid dan padi bukit di Sarawak dalam pemberian subsidi.

“Memang kita belum memberikan sebarang subsidi kepada padi hibrid. Kita sudah pun memasukkan padi hibrid untuk subsidi. Sama ada padi bukit, padi Bario, padi hibrid, kalau kita beri subsidi kepada padi biasa, perlu juga subsidi ini diberikan kepada jenis-jenis penanaman padi lain," ujarnya.

Berhubung isu penjenamaan produk pertanian dan buah-buahan tempatan, jelasnya, kementerian bercadang membuka Agro Bazar Malaysia di beberapa negara termasuk Si­ngapura dan China bagi memboleh­kan produk tempatan dikenali di pe­ringkat antarabangsa.

“Saya tahu ramai rakyat China dan Hong Kong terbang ke Singapura untuk makan durian Musang King dan anggap durian itu (keluaran) Singapura. Kita akan memperbetulkan penjenamaan ini dengan membuka Agro Bazar Malaysia di sana dan negara lain.

“Ini supaya mereka tahu produk-produk berkenaan keluaran Malaysia," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment