My Add

Tuesday 29 April 2014

Dua pesawat TUDM di Perth kembali ke Malaysia

PERTH, SELASA, 29 April, 2014: Dua pesawat C-130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijadual pulang ke Malaysia malam ini selepas pencarian udara bagi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 digantung berikutan pengumuman pencarian di kawasan dasar laut dijalankan secara intensif.

Dua pesawat itu akan berlepas pada 9 malam, manakala sebuah lagi pesawat TUDM C-130 buat sementara waktu ini kekal di sini sehingga dimaklumkan kelak, kata Ketua Skuadron ke-20 TUDM, Mejar Muhammad Jafri Suboh kepada Bernama dan RTM ketika ditemui di pangkalan Pearce, Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) di Bullsbrook di sini.

Muhammad Jafri, yang juga Ketua Detasmen operasi mencari TUDM di sini berkata, 53 kru udara, darat dan bantuan daripada sejumlah 78 personel TUDM yang terbabit dalam operasi akan meninggalkan pangkalan Pearce pada Selasa malam.

"Secara peribadi saya lihat seluruh anggota saya tunjuk tahap komitmen dan dan profesionalisme yang tinggi sama ada anak kapal yang melaksanakan tugas penerbangan mahupun anggota bahagian selenggaraan.

"Mereka bekerja keras 24 jam untuk pastikan kesediaan pesawat untuk terbang," katanya.

Kedua-dua pesawat TUDM itu bersama-sama dengan 53 anak kapal dijangka tiba di pangkalan TUDM Subang sekitar 10 pagi esok.

Pembabitan personel TUDM dalam usaha mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac di Lautan Hindi, bermula pada 29 Mac.

Pada Isnin, Perdana Menteri Australia Tony Abbott memberitahu sidang akhbar di Canberra bahawa misi mencari itu akan memasuki fasa baharu dengan tumpuan diberikan kepada kawasan yang lebih luas di dasar laut.

Keputusan itu diambil antara lain setelah didapati begitu tipis kemungkinan sebarang serpihan pesawat berkenaan akan dijumpai di permukaan laut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan beberapa buah kapal dari Australia, Malaysia dan China akan meneruskan dengan pencarian maritim dan pesawat udara Australia P3-Orion diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

Mengulas misi keseluruhan TUDM di sini, Muhammad Jafri berkata ia adalah saat-saat membanggakan bagi TUDM dan kru kerana dapat menyertai misi pencarian pelbagai negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment