My Add

Wednesday 30 April 2014

Pembenihan awan di kawasan tadahan air Selangor, Kuala Lumpur diteruskan

KUALA NERANG, RABU, 30 April, 2014: Operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air di Selangor dan Kuala Lumpur akan diteruskan setiap hari walaupun catuan air di Lembah Klang berakhir hari ini.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun paras air di empangan-empangan semakin meningkat, kerajaan mahu membuat persediaan menghadapi kemungkinan kemarau dari Jun hingga Ogos perlu diambil kira.

Katanya, usaha memulihkan bekalan air mentah perlu dilakukan secara berterusan supaya krisis bekalan air tidak meruncing nanti.

''Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi pada Jun, Julai dan Ogos nanti musim kering...kita cadangkan pembenihan awam mesti dibuat tiap-tiap hari di kawasan tadahan air,'' katanya kepada pemberita selepas taklimat bersama Syarikat Air Darul Aman (Sada) di Naka dekat sini, hari ini.

Mengenai catuan air di Selangor dan Kuala Lumpur yang berakhir hari ini, Mahdzir berkata, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada mesyuarat Jawatankuasa Krisis Bekalan Air peringkat kementerian itu pada Ahad lepas meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memansuhkan catuan air itu.

Pengerusi SPAN, Datuk Ismail Kasim mengumumkan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur akan pulih seperti sediakala esok apabila catuan lebih dua bulan itu ditamatkan hari ini.

Mahdzir berkata, mesyuarat Jawatankuasa Krisis Bekalan Air yang dipengerusikannya mendapati catuan air itu wajar ditamatkan.

Beliau juga menyatakan projek pembinaan Empangan Langat Dua bermula hari ini dan dijangka siap pada 30 April 2017 bagi membolehkan penyaluran air terawat dari Pahang ke Selangor.

''Ini menunjukkan kerajaan Persekutuan mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah itu,'' katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment