My Add

Wednesday 30 April 2014

Jepun masih sertai operasi mencari pesawat MAS

 * HISHAMMUDDIN Tun Hussein berbincang dengan Itsunori Onodera ketika menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Jepun itu di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 April, 2014: Jepun menyatakan komitmen untuk meneruskan penglibatannya dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dijalankan di selatan Lautan Hindi.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, komitmen itu disuarakan sendiri oleh Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera dalam pertemuan di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan memberitahu, misi mencari pesawat MH370 kini memasuki fasa lautan dalam dan kebanyakan aset yang sesuai untuk tujuan tersebut dimiliki oleh pusat-pusat penyelidikan di Jepun.

“Mereka akan mengkaji ba­gaimana institusi-institusi tersebut boleh membantu kita dan menambah lagi aset-aset yang boleh dikongsi bersama," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Onodera di pejabatnya.

Terdahulu, Onodera memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di pekarangan Wisma Pertahanan.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Semalam, agensi berita Rusia, ITAR-TASS melaporkan, Jepun akan menarik diri daripada misi mencari pesawat MH370 yang disertai dua pesawat C-130 Hercules dan dua pesawat P-3C Orion milik negara itu.

Hishammuddin menambah, Jepun juga meminta pakar-pakar dari negara itu diberi ruang untuk menyertai panel pakar yang menjalankan penyiasatan tentang insiden kehilangan pesawat MH370.

“Saya mengalu-alukan hasrat mereka itu. Kita akan mempunyai panel pakar yang telus dan berkredibiliti serta melibatkan pelbagai negara," ujarnya.

Beliau dalam pada itu berkata, Malaysia telah memperluaskan skop kerjasama keselamatan maritim dengan Jepun dan turut mengambil kira pengaruh Amerika Syarikat (AS) dan China serta sensitiviti negara-negara di rantau ASEAN.

Beliau menambah, hubungan lampau antara Jepun dan beberapa negara di rantau ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada negara itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam mengekalkan stabiliti serta keharmonian.

“Ia memerlukan persefahaman bukan sahaja di pihak Jepun malah oleh China, Korea Selatan dan Korea Utara," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Malaysia dan Australia sedang dalam proses meneliti data-data sedia ada dan aset-aset yang diperlukan untuk misi mencari pesawat MH370 di lautan dalam.

“Perdana Menteri Australia, Tony Abbott sebelum ini pernah membayangkan, pencarian secara visual dari udara dan pencarian dari permukaan laut mungkin tidak sesuai.

“Pada masa ini, bilangan negara dan syarikat yang memiliki peralatan canggih bagi misi mencari di lautan dalam agak terhad," jelasnya.

Menurut Hishammuddin, Malaysia juga akan berbincang dengan Australia tentang kos misi mencari tersebut dan jumlahnya bergantung kepada kaedah yang digunakan.

Sementara itu katanya, aspek keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan selatan Filipina sentiasa diberi perhatian oleh banyak negara termasuk AS serta Jepun.

Hishammuddin memberitahu, terdapat kepentingan komersial melibatkan pelbagai negara di kawasan tersebut.

Menurut beliau, operasi kapal-kapal komersial di rantau ini akan terjejas sekiranya Esscom tidak stabil.

“Jadi, banyak negara tampil ke depan untuk membantu termasuk AS dan hari ini saya berbincang dengan Jepun," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment