My Add

Friday, 30 December 2011

2012 dijangka rancak bagi industri kereta

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Industri kereta tempatan dijangka rancak pada 2012 meskipun mengharungi keadaan yang sukar tahun ini. 

Kedua-dua syarikat kereta nasional dan luar negara mengumumkan pelancaran beberapa model menarik, pengembangan kemudahan dan rangkaian serta naik taraf program.

Sebahagiannya sudah menerima pertanyaan dan tempahan menjelang Tahun Baru Cina pada 23 dan 24 Januari tahun depan.

PROTON Holdings Bhd akan melancarkan kereta global, P3-21A, pada suku pertama 2012 dan dua varian baru kenderaan pelbagai guna Exora pada minggu kedua Januari. 

UMW Toyota Motor Sdn Bhd merancang memperkenalkan beberapa model bagi Toyota dan Lexus, manakala Naza Kia akan menerima tempahan bagi Optima K5 pada Januari. 

Naza Kia akan membuka pusat kedua 3S (jualan, servis dan alat ganti) iaitu Kia Red Cube dan menaik taraf 27 pusat sedia ada bagi memasukkan identiti barunya. 

Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) akan memeterai kerjasama dengan Proton bagi beberapa aspek tertentu awal tahun depan. 

Perodua mendedahkan kedua-dua pihak akan membuat pengumuman mengenai perjanjian itu sama ada pada tahun ini atau tahun depan. 

Mengenai rancangan Khazanah Nasional Bhd untuk menjual pegangannya dalam Proton kepada DRB-HICOM Bhd, kebanyakan penganalisis enggan mengulas sementara menunggu pengumuman rasmi itu. 

Faktor lain yang perlu diperhatikan dengan rapat peserta industri termasuk semakan semula Dasar Automotif Negara dan kadar pertukaran dolar AS dan Yen. 

Golongan muda Malaysia, yang biasanya membentuk sebahagian besar pembeli pertama, akan membantu industri kereta mencapai jumlah jualan keseluruhan industri (TIV). 

Penganalisis kereta menyatakan, pelan perniagaan yang efektif untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan termasuk strategi menangani realiti ekonomi dengan mengambil kira krisis hutang Eropah dan kekangan kredit, adalah suatu yang penting. 

Peserta industri dan penganalisis menjangka TIV tahun depan mencatatkan pertumbuhan positif. 

OSK Research Sdn Bhd menyatakan, TIV tahun depan dijangka berkembang sebanyak 1.1 peratus di atas sokongan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar pada 5.2 peratus. 

RHB Research Institute mengunjurkan TIV kekal tidak berubah pada 607,000 unit pada 2012 berbanding tahun ini, yang dianggarkan pada 604,000 unit. 

MIDF Amanah Investment Bank Bhd meramalkan TIV berkembang 0.5 peratus kepada 611,140 unit daripada 608,100 unit yang diunjurkan tahun ini. 

Naza Kia menjangka kuantiti jualan kekal tidak berubah tahun depan dengan mengambil kira pilihan raya umum dan mengekalkan jualan pada paras semasa sudah cukup baik bagi tahun depan. 

Pada 2010, TIV mencecah rekod sebanyak 605,155 unit, peningkatan 12.7 peratus berbanding dengan 536,905 unit tahun sebelumnya. 

Bagi tahun ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan jualan industri mencecah 608,000 unit. 

Pasaran menyaksikan momentum dipacu oleh kuasa beli kukuh dan permintaan tinggi daripada pelanggan tahun ini tetapi berdepan beberapa cabaran seperti gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun Mac dan banjir di Ayutthaya, Thailand, pada suku ketiga tahun ini. 

Akibatnya, beberapa pelancaran model tertentu terpaksa ditangguhkan dan syarikat seperti UMW Toyota Motor dan Honda berdepan masalah kelewatan penghantaran alat ganti. 

Justeru, 2011 menjadi tahun yang ingin dilupakan industri kereta, kebanyakan penganalisis bersetuju situasi pengeluaran alat ganti dan serahan sudah hampir kembali seperti biasa. 

Jumlah jualan kenderaan meningkat sebanyak 8.6 peratus kepada 48,702 unit pada November, daripada 44,845 unit yang dijual bulan yang sama tahun lalu. 

Menurut MAA, kuantiti jualan bagi Disember dijangka terus sederhana, disebabkan pelanggan mahu menunggu dan mengambil serahan stok pengeluaran tahun 2012. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment