My Add

Thursday 29 December 2011

Keadaan banjir di beberapa negeri kekal terkawal

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Disember, 201: Keadaan banjir di beberapa negeri pada sebelah petang kekal terkawal dengan kebanyakkan mangsa kembali ke rumah masing-masing. 

Di SARAWAK, keadaan banjir semakin pulih dan setakat 6 petang ini, hanya 687 mangsa daripada 222 keluarga masih berada di empat pusat pemindahan banjir.

Menurut kenyataan bilik gerakan negeri, masih terdapat 451 mangsa daripada 163 keluarga di Samarahan, Sri Aman (102 mangsa daripada 33 keluarga), Sibu (125 mangsa daripada 25 keluarga) dan Sarikei (sembilan mangsa daripada satu keluarga).
Keadaan cuaca yang hujan sejak empat hari lalu di Sarawak bukan sahaja menyebabkan kawasan rendah banjir, malah berlaku kejadian tanah runtuh termasuk di Kilometer 77 dan Kilometer 78 Jalan Serian-Sri Aman pada 8.45 malam tadi, menyebabkan Jalan Trans Borneo masih terputus hubungan hingga sekarang. 

Di JOHOR BAHARU, portal Majlis Keselamatan Negara melaporkan hanya daerah Segamat masih terjejas akibat banjir dan seramai 241 mangsa ditempatkan di enam pusat pemindahan di Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang, Kampung Pogoh, Kampung Tandong dan Kampung Kuala Paya. 

Portal Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan tiga sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dengan 9.40 meter, Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (3.23 meter) dan Sungai Simpang Kiri di Sri Medan, Batu Pahat (2.31 meter). 

Di KUANTAN, seramai 15 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan di Rompin, Pahang. 
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, sehingga 5 petang, mereka yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Gadak terpaksa menunggu keadaan banjir di penempatan mereka pulih daripada fenomena air pasang. 

Setakat ini hanya kawasan penempatan di Kampung Gadak masih dinaiki air manakala kawasan lain telah pulih daripada bencana banjir berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang Azemi Daud berkata, fenomena air pasang besar yang berlaku akan kembali kepada keadaan biasa pada akhir tahun ini. 

"Ombak yang lebih tinggi di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung Malaysia adalah disebabkan oleh angin kencang timur laut dan dijangka berterusan sehingga hari ini. 

"Fenomena air pasang dan ombak besar ini boleh menyekat aliran air hujan ke laut dan dengan itu, boleh menyebabkan banjir lambat surut," katanya yang menasihati orang ramai agar mengurangkan aktiviti di kawasan laut dan pantai. 

Sementara itu, keadaan banjir di Sandakan, Sabah beransur pulih dan 64 mangsa daripada 18 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan dibenar pulang ke rumah masing-masing sejak pagi tadi. 

Menurut jurucakap Pusat Operasi Banjir Majlis Perbandaran Sandakan, semua mangsa yang merupakan penduduk Kampung Gum-Gum itu dibenarkan balik selepas air sungai turun di bawah paras berjaga-jaga. 

Beliau berkata, pusat pemindahan di Dewan Sri Gum-Gum ditutup pagi ini namun pusat operasi banjir masih dibuka bagi memantau keadaan banjir di daerah ini. 

Di BELURAN, Penolong Pegawai Daerah Roger Appolonius menasihatkan penduduk di tiga kawasan iaitu Sugut, Paitan dan Tangkarason agar berjaga-jaga dan berpindah jika air sungai meningkat secara mendadak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment