My Add

Friday, 30 December 2011

Melaka beli monorel terpakai

Oleh Rizanizam Abdul Hamid 
MELAKA, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Melaka bakal mempunyai monorel pelancongan kedua menggunakan monorel terpakai berusia 30 tahun yang dibeli dari Singapura untuk ditempatkan di Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini selewat-lewatnya Mac tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, secara dasarnya perbincangannya dengan negara republik itu telah bersetuju untuk memindahkan monorel sepanjang 1.72 kilometer itu dari Taman Burung Jurong, Singapura ke Melaka yang ditawarkan pada harga RM1 juta.

Bagaimanapun menurut beliau, harga tersebut boleh dikurangkan sekiranya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersetuju menamatkan kontrak tahunan meminjamkan dua ekor harimau antara Malaysia dan Singapura sejak lapan tahun lalu.

"Kerajaan negeri sudah bersetuju dengan tawaran itu, cuma sekarang kita sedang berunding dengan Ketua Pengarah Perhilitan sama ada boleh atau tidak kita beri dua ekor harimau itu kepada mereka secara tetap dan bukan lagi meminjamkannya melalui kontrak yang diperbaharui setiap tahun.

"Kalau itu dapat dilakukan, Singapura akan turunkan harga lebih murah daripada RM1 juta, tetapi kalau tidak boleh pun, kita akan tetap beli monorel mereka itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian dan Penerimaan Cek Skim Anak Angkat Zoo Melaka 2011 di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abd. Rasid Samsudin dan Pengarah Zoo Melaka, Ahmad Azhar Mohammed.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, perjanjian jual beli monorel buatan Switzerland itu antara Melaka dan Singapura akan dibuat pada bulan depan manakala akan dipindahkan ke sini pada bulan Mac.

"Singapura mahu menggantikan monorel berusia 32 tahun itu dengan monorel di atas tanah bukannya sedia ada yang menggunakan tiang.

"Walaupun sudah berusia 32 tahun, saya tengok monorel itu masih kuat dan tahan lasak kerana ia buatan Switzerland," katanya.

Sementara itu, Monorel Sungai Melaka sepanjang 1.6 kilometer di sini menjadi monorel pelancongan pertama di negeri bernilai RM15.9 dan mula beroperasi 20 Oktober 2010. - UM

No comments:

Post a Comment