Oleh Hassan Omar, Zanariah Abd Mutalib dan Lum Chee Hong
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Parti politik seharusnya bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta bukan mengheret mereka ke jalan untuk berdemonstrasi semata-mata demi kepentingan peribadi pemimpinnya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata demonstrasi bukan budaya yang sesuai diamalkan di negara ini kerana banyak perkara termasuk isu undang-undang atau mahkamah boleh dibawa berbincang melalui saluran yang betul.
Ahmad Zahid berkata demikian mengulas perhimpunan yang akan dianjurkan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 9 Januari depan, kononnya untuk menuntut keadilan bagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang keputusan kes liwat dihadapinya diputuskan pada tarikh sama.
“Isu mahkamah serta perundangan tidak harus dipolemikkan dan kita tidak harus membawa rakyat terbabit dalam kes mahkamah terutama kes peribadi kita (pemimpin politik).
“Kalau nak rakyat jadi hakim, mereka harus menghakiminya melalui pilihan raya umum, bukan ketika sesuatu keputusan itu diputuskan kerana tindakan itu seolah-olah mahu rakyat menyanggah keputusan mahkamah,” katanya selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini, semalam.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Haron, berkata PKR tidak pernah adil membawa isu berkaitan rakyat, sebaliknya sengaja meniup sentimen membenci kerajaan dalam jiwa rakyat dengan menganjurkan perhimpunan haram.
“Kalau PKR (Anwar) menang kes itu, dia akan puji sistem keadilan tetapi kalau kalah, dia akan menuduh kononnya skrip keputusan mahkamah sudah ditentukan tangan tertentu,” katanya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata mahkamah bukan setakat pernah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap pemimpin pembangkang, malah pemimpin BN, sekali gus membuktikan ketelusan kehakiman negara.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan dalam sebuah portal berita menafikan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa beliau mengeluarkan pekeliling mengajak ahli parti itu mencetuskan huru-hara di ibu kota pada hari berkenaan. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment