MUNIRAH Rosli bersama bayinya berusia 26 hari, ketika menceritakan pengalamannya meredah banjir di Kampung Beradek, Pulau Semilang, Kuching, semalam.
Oleh ZAAIN ZIN
KUCHING, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Seorang ibu yang masih dalam pantang trauma mengenangkan pengalaman meredah banjir dan hujan lebat sambil membawa bayi lelakinya ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Beradek, Pulau Semilang di sini Isnin lalu.
Perasaannya semakin gundah apabila terpaksa tinggal selama empat hari di pusat pemindahan itu dan berdepan dengan suasana riuh-rendah sehingga bayinya jatuh sakit serta kerap menangis kerana tidak dapat tidur.
Munirah Rosli, 25, berkata, ketika kejadian itu, dia hanya sempat mencapai beberapa barang keperluan untuk bayinya yang baru berusia 26 hari memandangkan hujan lebat serta angin kencang menyebabkan kawasan rumahnya dinaiki air dengan cepat.
Katanya, dia yang masih lemah menggagahkan diri meredah air banjir kerana bimbang keselamatan anak sebelum dibantu pasukan keselamatan yang datang dengan sebuah bot.
"Sebaik sahaja ditempatkan di pusat pemindahan, masalah lain pula berlaku iaitu anak saya kerap menangis tidak dapat tidur kerana tempat itu padat dan riuh-rendah.
"Saya serik berhadapan dengan keadaan ini dan kalau boleh tidak mahu ia berulang lagi," katanya yang baru sahaja dibenarkan pulang ke rumah yang terletak di Kampung Beradek di sini, hari ini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati keadaan banjir di kawasan itu beransur pulih membolehkan kesemua 463 penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Dengan cuti sekolah berbaki empat hari lagi, penduduk mengambil kesempatan membersihkan rumah masing-masing yang dipenuhi lumpur serta sampah-sarap.
Ketua Kaum Kampung Beradek, Bolhasan Ibrahim berkata, penduduk kampung sudah lali dengan rutin sebegitu kerana rumah mereka pasti dilanda banjir sekurang-kurangnya dua kali setahun.
"Cuma sejak benteng pencegah banjir yang dibina di Tanjung Embang pecah dua tahun lalu, kejadian banjir yang melanda kampung kami agak luar biasa," katanya,
Sementara itu seorang suri rumah, Misiah Bujang, 54, berkata, air berlumpur memenuhi rumahnya setelah empat hari kawasan kampung mereka dilanda banjir.
Bagaimanapun katanya, persediaan yang rapi membolehkan dia sekeluarga sempat menyelamatkan barang-barang penting dengan memindahkannya ke tempat lebih tinggi.
"Saya hanya membersihkan rumah ala kadar kerana risau banjir berulang pada bila-bila masa memandangkan keadaan cuaca masih tidak menentu," katanya. - UM
No comments:
Post a Comment