Oleh AZRAI MOHAMMAD
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Kerajaan terpaksa membenarkan pengeluar filem melakukan tapisan sendiri kerana Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak lagi mampu melaksanakan peranan tersebut.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, LPF yang selama ini melakukan tugas itu, perlu diolah semula dengan memberi perhatian terhadap soal teknikal dan motif pengeluaran filem.
"LPF tidak dapat menapis semua filem kerana mereka gagal menjangka tayangan yang mengandungi unsur-unsur yang perlu dihalang.
"Selain itu, nilai-nilai hidup yang dipegang sejak sedekad lalu sudah tidak lagi dipakai oleh masyarakat, maka LPF harus diolah semula," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Istana Budaya 2012, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.
Rais mengulas mengenai LPF yang tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan bermula tahun depan.
Langkah terbaru itu diambil selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara.
Bagaimanapun jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem berkenaan perlu bertanggungjawab.
Menurut Rais, selepas ini LPF perlu lebih berani menentukan kesesuaian filem dalam dan luar negara dengan gaya hidup masyarakat khususnya yang bertemakan seram.
"LPF sebenarnya mempunyai cabaran yang sangat besar untuk melaksanakan tugas itu dan saya berharap mereka dapat melakukannya," ujar beliau.
Sementara itu, katanya, kementerian berharap badan-badan korporat akan terus menyumbang serta menyokong industri teater tanah air.
"Penglibatan badan swasta dalam bentuk derma dan latihan terhadap industri teater perlulah digalakkan. Kementerian juga akan memperjuangkan pengecualian cukai kepada mereka sekiranya sumbangan itu dilakukan," katanya. - UM
No comments:
Post a Comment