KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Disember, 2011: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempelawa pemimpin pembangkang untuk bertemu dengan beliau bagi membincangkan soal-soal pertahanan negara.
Katanya, pertemuan itu boleh diadakan pada bila-bila masa, asalkan mereka sudi menerima fakta yang tepat dan menyebarkan kepada rakyat.
Pelawaan itu dibuat sebagai respons kepada dakwaan terbaru pembangkang bahawa harga kapal perang pesisir pantai (LCS) telah meningkat berbilion ringgit sebaik sahaja tender pembinaan enam LCS diberi kepada Boustead Naval Shipyard (BNS).
"Apa pun tanggapan yang diberikan oleh pemimpin pembangkang, mereka harus kemukakan bukti sebelum membuat tuduhan. Fakta apa yang mereka pakai sehinggakan mereka memberi tanggapan bahawa harga LCS sudah meningkat,” katanya kepada pemberita di sini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pembangkang tidak sepatutnya membuat andaian kerana projek LCS itu belum lagi ditawarkan secara rasmi kepada BNS yang merupakan sebuah syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
BNS sebelum ini telah diberi surat tunjuk niat oleh Kementerian Pertahanan yang berkaitan dengan pembinaan enam buah kapal LCS tersebut, tetapi fungsi dokumen itu sangat berbeza dengan dokumen surat tawaran, katanya.
Ahmad Zahid juga berkata, pembangkang seharusnya tahu bahawa harga LCS yang mahal disebabkan kapal itu akan dibina di Malaysia.
"Harga itu juga termasuk nilai tambah seperti offset program, pemindahan teknologi dan tambahan pula harga kapal tidak tetap kerana ia belum termasuk harga sub sistem pada satu-satu kapal,” katanya. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment