My Add

Friday 30 December 2011

MKN patut kaji semula pemberian RM500 pada mangsa banjir

BELURAN: Anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee meminta Majlis Keselamatan Negara mengkaji semula pemberian bantuan RM500 kepada mangsa banjir di Sabah bagi memastikan semua mangsa mendapat manfaat. 

Ini kerana katanya, dasar itu yang hanya memperuntukkan bantuan kepada mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan banjir menyebabkan ramai penduduk di kawasan luar bandar di Sabah tidak layak.

"Kebanyakan mangsa banjir di daerah ini tidak berpindah ke pusat pemindahan banjir kerana kekurangan kemudahan itu seperti dewan.

"Sebaliknya mereka akan berpindah ke rumah saudara mereka yang berada di kawasan yang tinggi menyebabkan mereka tidak layak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan RM500 Pejabat Parlimen Beluran kepada 87 mangsa banjir, di sini hari ini. 

Dalam kejadian minggu lalu, banjir kilat melanda tiga kampung di Telupid iaitu di Taviu, Kaparon dan Lumou yang merosakkan harta benda penduduk di kampung terbabit. 

Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu juga berkata, pada tahun lalu, terdapat lebih 2,000 mangsa banjir di daerah ini, namun hanya 63 orang menerima bantuan terbabit. 

"Setiap kali banjir, kerosakan dan kerugian yang dialami penduduk luar bandar di daerah ini adalah sama seperti dialami mangsa banjir di negeri lain di negara ini," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment