My Add

Friday, 30 December 2011

SMM didakwa cuba 'tumpang' program UPSI

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Gerakan mahasiswa, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dipercayai merancang untuk 'menumpang' program sambutan tahun baru anjuran Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Perak yang akan dihadiri oleh 1,500 mahasiswa pada Sabtu ini untuk mengadakan perhimpunan haram.

Gerakan itu didakwa cuba mengaitkan pengunjung sambutan tersebut sebagai penyokong mereka bagi menggesa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan.

Perkara tersebut didedahkan oleh mahasiswa UPSI yang bimbang perhimpunan bermotifkan politik itu akan menganggu sambutan tahun baru anjuran universiti tersebut yang kebiasaannya dipenuhi dengan acara sukan.

Sumber berkata, tindakan SMM untuk 'menumpang' program tersebut adalah bagi mendapat sokongan daripada mahasiswa lain.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, SMM bersama tidak lebih 50 ahlinya dengan berbekalkan beberapa kain rentang akan mengadakan perhimpunan pada program berkenaan.

"Selain meraih sokongan, mereka juga dijangka akan mendakwa kononnya pengunjung seramai 1,500 yang hadir menyokong tindakan mereka yang mahu AUKU dimansuhkan.

"SMM sebenarnya hanya ingin 'menumpang' program tersebut bagi melunaskan tuntutan berbaur politik yang dipercayai didalangi pihak-pihak tertentu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, kira-kira 200 ahli SMM berkumpul dan berarak untuk menggesa AUKU dimansuhkan kerana didakwa menyekat kebebasan akademik.

Sebelum menyerahkan memorandum bantahan itu, beberapa ahli SMM ketika berpiket di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bertindak menurunkan bendera yang mempunyai gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - UM

No comments:

Post a Comment